Monday, January 11, 2016

Kepala Ikan Merah Masak Gulai Daun Kesum

Gambar yang tak cantik sebab masak pagi2...
periuk besar...
terus tuang dalam tupperware

Alhamdulillah, petang semalam, adik ipar bawakan stok kepala ikan merah saiz sederhana yang agak banyak. Lebih kurang 20 potong gitu. Kebetulan stok ikan kembung pun banyak. Mana nak muat peti ais kat dapur tu. Nak tumpang peti ais stok barang frozen suami pun dah penuh jugak. Sudahnya, saya cuci semua kepala ikan merah tersebut untuk dimasak. Selepas siap bekalan untuk anak2, seketul seorang, bakinya saya masukkan dalam tuppy besar utk kwn2 di sekolah...alhmdlh...dapat makan ramai2...

Ikan merah bukanlah ikan yang saya pernah makan waktu kecil. Waktu kecil di kampung, arwah emak hanya masak ikan kembung, selar, selayang atau tongkol. Arwah emak lebih kerap masak ayam kampung dibela sendiri atau ikan sungai yang ditangkap sendiri.

Kalau emak masak ikan sungai, antara bahan aroma yang akan digunakan ialah daun kesum. Wajib. Sedap gila masakan emak. Saya jarang masak kari atau gulai ikan. Kalau beli ikan besar2, biasa saya akan masak menu biasa, kukus, masam manis, masak tiga rasa, atau masak paprik. Kemahiran memasak gulai kurang sangat. Saya masak gulai kepala ikan merah ini, resepi main hantam saja...hehehehe...lucunya, ada kawan2 hirup kuahnya sebab suka akan rasa dan aroma daun kesum. Sekali pandang memang macam masak asam pedas.

Resepi kepala ikan merah masak gulai daun kesum:

1 kg kepala ikan merah
5 ulas bawang merah*
1 labu bawang besar*
2 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*
1/2 inci lengkuas*
2 sdb rempah gulai kawah
1 sdb rempah masak (cap ros)
1 senduk cili kisar
1 batang serai diketuk
6 tangkai daun kesum yang lebat daunnya
2 keping asam gelugor
1/2 kg santan
Garam, gula dan perasa (opt)
Air secukupnya (tambahan)
Sedikit minyak utk menumis

Penyediaan:

Bersihkan kepala ikan merah dan rendam dengan air garam utk hilangkan hanyir
Kisar lumat bahan bertanda *
Tumis bahan kisar hingga wangi dan garing
Masukkan cili kisar, serai dan tumis lagi hingga garing dan wangi
Masukkan rempah gulai yang dibancuh dengan sedikit air
Tambah sedikit air dan masukkan kepala ikan dan tutup periuk sekejap
Tambahkan santan dan didihkan
Tambahkan asam gelugor, daun kesum dan garam, gula, perasa
Sesuaikan kepekatan
Didihkan sekejap lagi hingga ikan masak
Tutup api dan hidag dengan nasi panas.
Makan dengan roti pun sedap jugak..