Tuesday, December 23, 2014

Belebat Ubi Steller

Apa benda tu ubi steller? Hummm...hanya orang Terengganu Kelantan je tau kut...tapi orang kelantan sleng lain ler...stello...macam nama minah salleh pulak.

Ni semua penangan musim banjir. Hujan setiap hari mengingatkan memori ketika masih kecil di kampung...nun di Kuala Terengganu...musim tak boleh keluar rumah...kalau yang keluar pun arwah bonda dengan ayah long (ayah tiri tercinta saya)...semoga keduanya dalam kalangan hambaNya yang tersayang...amiinnn...Ya Rabb..

Waktu itu, kalau bonda dan ayah long keluar, dah tentu2 baliknya nanti dengan beberapa ekor ikan sungai yang berjaya dipukat. Hummm...indahnya kenangan tu. Lepas tu akan berbaulah aroma rempah ratus yang digiling bonda...entah bagaimana kuatnya bonda yang tak pernah kenal lelah..ohhhh...

Dan kalau banjir juga, bonda dan ayah long akan menuai ubi-ubian supaya tidak membazir. Macam2 la nanti jadinya ubi tu diolah bonda. Dan pelbagai jenis ubi yang paling saya rindu adalah ubi torok...rasanya dah lebih 20 tahun tak dapat menikmati ubi itu lagi...haaaa...satu lagi ubi gadong...alahai....sayu betul mengingatnya...

Dek memori tersebut...Ahad lalu saya menjengah ke pasar tani berdekatan. Beli sekilo keledek, sekilo ubi kayu dan sekilo pisang lemak manis. Nak sangat menikmati belebat steller macam dulu2. Beberapa kali dah buatnya rasa macam tak puas hati.

Ahad tu juga, balik dari pasar, saya masak setengah kg steller jadikan belebat. Saya ricih2 saja ubi tu macam arwah mak buat. Kejadiannya macam gambar kat bawah. 

Bahan2 utk anggaran 12 biji

2 ketul ubi keledek (lebih kurang 500g) diricih nipis dan panjang
1/2 cawan tepung beras
1 cawan santan
Sekeping gula melaka (nissan saiz besar nipis - saya guna yang ori tanpa dicampur gula)
Secubit garam

Masakkan gula melaka bersama santan, masukkan keledek ricih dan tepung beras..serta garam....gaulkan hingga sebati dan pekat, dengan tujuan nak memudahkan pembungkusan. Kalau mahir membungkus, tak payah masak dulu pun takpe. Bungkus seperti lepat dan kukus hingga masak.


Saya mengukus menggunaka Noxxa Steamer. 20 minit sahaja. Alhamdulillah. Dapat dinikmati. Aromanya. Fuhhhhh....




Kali kedua, saya masak lagi belebat tetapi kali ini saya rebus dulu keledeknya. Saya ikut cara jiran saya ketika kecil. Mak Ngah Padang nama panggilannya. Mak Ngah ni kalau nak masak menggunakan tepung beras, dia takkan guna tepung segera, tapi Mak Ngah akan mengisar beras menggunakan kisaran batu tradisional ketika itu, Saya kerap juga bantu Mak Ngah kisar beras. Seronok.

Ramuannya sama seperti di atas, cuma selepas rebus keledek dan mencairkan gula melaka, saya lecek semuanya kasar2 dalam mangkuk dan bungkus. Hummmm...sedapnya. Walau saya agak lupa adunan sebenar atau ramuannya, tapi percubaan kali ini alhamdulillah. Aromanya menepati aroma yang selalu menusuk hidung saya suatu masa dahulu.



Friday, October 3, 2014

Bubur Asyura Noxxa



Sumber Resepi : Chef Hanieliza

Bahan-bahannya mengikut sukatan asal Chef Hanieliza:

1 kg beras
1 kg bawang merah(500 gm dimesin ,500 gm dijadikan bawang goreng)
1 kg gula
1 kg daging
1 ekor ayam [potong kecil]
2 kg santan
250 gm kacang hijau
500 gm ubi keledek
250 gm kerisek
5 btg serai
5 cm halia
5 ulas bawang putih
6 s/b rempah asyura [rempah khas untuk bubur asyura]
garam

Hiasan
kelapa goreng
isi ikan hancurkan]
telur dadar [hiriskan]

Penyediaan
1. Masakkan beras, kacang, keledek,daging dan ayam sehingga lembut dan hancur.
2. Mesinkan bawang merah, bawang putih, halia dan serai.
3. Masukkan dalam rebusan beras dan daging tadi.
4. Masukkan rempah, kerisek, bawang goreng dan santan.
5. Masukkan garam dan kacau sehingga rata dan masak pekat.
6. Tuangkan ke dalam loyang atau bekas kecil.
7. Sejukkan dan boleh dihidangkan  


Namun saya telah sesuaikan bahan2 tersebut mengikut citarasa saya ketika di kampung dahulu, ketika memasak beramai2 dengan jiran tetangga. Indah sungguh memori tersebut. Semuanya telah lama berlalu. Saya suka banyak kacang yang pelbagai jenis dan jagung. Jadi bahan saya seperti di bawah.

1 1/2 pot beras (saya guna pot periuk)
5 labu bawang merah besar dimesin
250 g daging
250 g isi ayam
2 cawan  santan kotak
2 cawan air
1/2 cawan kacang kuda direndam dulu hingga lembut (saya rendam semalaman)
1/2 kacang hijau
1/2 cawan kacang merah
1/2 cawan kacang dal
1 tin jagung manis
1 ketul ubi keledek saiz besar
1 sudu besar kerisek
3 btg serai dimesin
2 cm halia dimesin
2 ulas bawang putih dimesin
3 s/b rempah asyura khas saya order dari Terengganu dan diposkan oleh kawan saya Pn Azimah
garam secukupnya (tidak perlu perasa kerana semua bahan memiliki perisa enak asli.

Penyediaan :

1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk dan setkan periuk ke high pressure selama 60 minit. setkan tombol ke pressure.
2. Selepas 60 minit, periuk akan berbunyi beep. Lepaskan semua steam keluar. Hati2 jangan terkena tangan atau muka. 
3. Buka tutup periuk dan kacau isinya. Perisakan garam gula sama ada cukup atau tidak mengikut citarasa. 
4. Jika terlalu pekat boleh tambah air panas sedikit dan kacau. Setkan butang stir fry ye ketika ini. Dah puas hati dengan kepekatan, bolehlah dimasukkan ke dalam bekas2 pilihan hati. Kepekatan bubur asyura ini bergantung kepada bahan2 bijian yang kita guna iaitu beras dan kacang kacang tersebut.



Warna asyura yang dimasak dengan PC Noxxa tidak sehitam atau gelap seperti masak menggunakan kawah. Namun rasanya masih sama. Sedap sekali. Alhamdulillah. Dapatlah menghilangkan rasa rindu saya kepada arwah bonda dan sanak saudara.


Selamat mencuba.

Gulai Ayam Kampung Stail Terengganu ~ Noxxa

Bahan-bahan:
1 ekor ayam kampung (saya gunakan ayam Az-zain @ muslim product)
2 s/b kerisik
2 cawan santan pekat (saya guna santan kotak saja)
1 ketul kecil manisan (gula melaka yang dipatahkan anggaran sebesar saiz 2 jari) atau boleh tukar dengan gula pasir atau gula merah anggaran 1 ke 2 sudu besar ikut suka manisnya


2 asam keping

2 sudu besar cili kisar (saya guna cili yang dikisar sendiri)2 s/b rempah gulai cap ROSE (rempah gulai terkenal di Terengganu sejak zaman berzaman)1 s/b rempah masak cap ROSE
*5 labu bawang merah
*3 ulas bawang putih*2 cm halia
*1 cm lengkuas
3 s/b minyak (saya guna olive oil) guna minyak masak apa2 pun boleh
Garam secukupnya


Bahan tumis:
2 cm kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
Penyediaan:
1. Set periuk ke butang stir fry. Panaskan minyak dan tumiskan bahan tumis sehingga wangi.
2. Masukkan bahan mesin dan tumis sekejap sampai wangi dan naik minyak. Proses ini sekejap sahaja kerana PC Noxxa cepat panasnya.
3. Masukkan ayam kampung dan kacau perlahan jangan sampai tulang ayam merosakkan lapisan non-stick periuk. Masukkan sikit air dan kacau perlahan.
4. Masukkan santan, kerisek, garam, gula melaka serta asam keping. Kacau perlahan.
5. Tutup periuk dan set butang high pressure 30 minit. Pusing tombol ke pressure.
6. Periuk akan beep selepas 30 minit dan pusing tombol ke steam. Biarkan wap keluar. Setelah wap tekanan semua telah dikeluarkan, buka tutup periuk dan rasakan garam gulanya. Tambah mana yang perlu ikut citarasa. Hidangkan.

Selamat mencuba.

Nota : Jika menggunakan periuk biasa, pastikan ayam dimasak sehingga betul-betul empuk.


Saturday, September 20, 2014

Kerabu Mangga





Sumber : Che Tun

Bahan-bahan:

5 ulas bawang merah – hiris nipis
3 biji mangga muda – mayang memanjang
6 biji cili api – hiris nipis
1/2 cawan kacang tanah sangai dan tumbuk
1 sudu besar udang kering sangai juga
1 sudu besar gula
3 sudu besar sos ikan
3 biji limau nipis – ambil air perahan
2 helai daun salad untuk hiasan
Garam secukup rasa

Penyediaan
1.Gaulkan hirisan mangga muda, bawang merah, cili api, gula, sos ikan, garam, perahan limau nipis.
2.Masukkan pula kacang tanah..gaulkan lagi..
3.Hidang di dalam bekas yang dialas daun salad
4.Sedia untuk dinikmati...

Selamat mencuba...

kacang Pool



Siap pack untuk bekalan my kasih, anak dara ke tuisyen hari ini...

Kacang Pool Haji...kegemaran kami sekeluarga. Acara wajib jika ke selatan tanah air, kami akan ke Plaza Larkin untuk menikmati keenakan Kacang Pool Haji yang terkenal tu. Sedap sungguh. Malah kami juga akan menikmati laksa Johor di situ...gerai bersebelahan. Alhamdulillah, menepati citarasa saya, suami dan anak-anak. 

Cuti kali ini saya tidak ke mana2 memandangkan 3 anak menghadapi peperiksaan besar dalam hidup masing2. Kelas tambahan, study kendiri, itulah acara cuti kami kali ini. Pendek kata anak dan umi bergelumang kertas. Hihi...

Tatkala duduk2 kat rumah macam ni, terkenang kacang pool yang sedap tu. Hummmm...resepi ada...buku Chef Hanieliza tu. Apa lagi...watpe duduk2 aje...masak kacang pool ada juga faedahnya daripada terkenang2 aje kan.

Resepi:

Bahan A

400g daging kisar...saya guna daging ayam cincang sbb itu aje stok yang ada...malas nak keluar lagi
10 ulas bawang merah*
4 ulas bawang putih*
1 inci halia*
2 sudu makan rempah kurma
1 sudu makan rempah kari daging (saya guna rempah Terengganu Cap Bunga Ros yang terkenal tu)
1 tin kacang pool (kacang parang dalam tin jenama Kimball
1 cawan air ( saya guna satu cawan santan cair)
1/2 cawan minyak masak ( saya guna olive oil)
Garam dan perasa secukupnya.

Saya tambah:

1 sudu besar penuh2 cili kisar*
1 kiub pati ayam**
1 sudu besar gula**
   **untuk rasa lebih umphhhhh...heee

Kacang Pool / Kacang Parang

Penyediaan:

1. Leraikan daging guna penekan burger dan ketepikan.
2. Kisar bahan bertanda *.
3. Tumis bahan kisar hingga wangi.
4. Masukkan rempah kurma dan rempah kari daging.
5. Kacau sehingga pecah minyak.
6. Masukkan daging dan kacau sebati hingga semua daging lerai.
7. Masukkan kacang pool, air atau santan cair tu, serta kiub pati ayam dan masak hingga mendidih dan kuah pekat.
8. Perisakan dengan garam, perasa dan gula ikut citarasa.
9. Sedia dihidang.

Bahan B (hiasan):

4 biji cili hijau dihiris
1 labu bawang besar didadu
8 keping roti bakar...roti sandwich atau roti perancis ( utk makan 4 org)
4 biji telur mata
4 biji limau kasturi
2 biji tomato didadu...

Selamat mencuba. Hummm, yang penting tak perlu tunggu ke Larkin untuk menikmati Kacang Pool. Terima kasih Chef Hanie.


Ini versi untuk bekalan anak ke tuisyen...jadi tiada hiasan lain kecuali telur mata...

Saturday, September 6, 2014

Kek Marble Susu




Kek Marble...kek yang terkenal sejak dulu. Mengalami pelbagai transformasi hasil kreativiti golongan chef, hawa dan suri peminat masakan sama ada pakar atau amatur. Saya mencuba sekali lagi masak kek marble...kali ini menggunakan resepi Chef Lin juga (Norzailina Nordin). Hasilnya sangat cantik membuatkan hati berbunga. Alhamdulillah.

Bahan-bahan:

250 g mentega
230 g gula kastor
2 camt ovalette
4 butir telur
60 g susu pekat manis
270 g tepung superfine
1 camt baking powder
2 camb serbuk koko
2 camb susu cair
1 camt emuco coklat
pewarna merah, hijau dan coklat


Penyediaan:

1. Lenser loyang tiub berlubang tengah dengan mentega dan alas dengan kertas baking. Panaskan oven dengan suhu 190C.




 2. Pukul mentega, ovalette dan gula hingga kembang.
3. Masukkan telur satu persatu dan putar hingga kembang.
4. Ayak tepung dan baking powder ke dalam adunan dan gaul sebati.
5. Masukkan susu pekat. Gaul sebati.
6. Bahagikan adunan kepada 4 bhg sama banyak. Satu bhg biar warna asal. Satu bhg dicampurkan susu cair, serbuk koko dan coklat emulco. 2 bhg lagi dicampur warna merah dan hijau.
7. Masukkan adunan ke dalam piping beg supaya senang melakar bentuk. Picitkan adunan berselang warna ke dalam loyang. Picit ikut bentuk bulatan loyang. Selang selikan warna hingga adunan habis. Hentak perlahan loyang supaya adunan sekata.



Bakar selama 45 - 55 minit (hingga masak. Sejukkan sebelum dipotong.



Kek yang telah masak.


 Selamat mencuba.

Swiss Roll Blueberi



Lama sungguh tak masak swiss roll ni. Teringin pula tatkala mentelaah buku resepi baru Chef Lin (Norzailina Nordin). Padahalnya, saya memiliki pelbagi resepi swiss roll sebelum ini. Kini, teruja mencuba sebab dah timbul keinginan pula menikmatinya.

Alhamdulillah, roll ini sangat gebu dan enak dimakan. Cuma saya tak berani makan banyak. Maklum, takut menganiaya badan pula. Namun seronok melihat anak2 menikmatinya. Saya hidang kosong sebab tak mahu anak2 makan banyak lemak dan gula.



Bahan-bahan:

3 biji putih telur
1/4 camt garam
3/4 cawan gula kastor
6 biji kuning telur
1 cawan tepung superfine
1/3 cawan mentega dicairkan


Penyediaan:

1. Alas loyang 11 in dgn kertas baking dan lenser dengan mentega
2. Panaskan oven dengan suhu 200C
3. Putar putih telur dengan garam hingga menjadi meringue.
4. Masukkan gula sedikit demi sedikit dan putar lagi hingga kental
5. Masukkan putih telur dan pukul sebati
6. Masukkan tepung dan kaup balik hingga sebati. Tidak perlu putar.
7. Masukkan mentega cair dan sebatikan.
8. Tuang adunan ke dalam loyang dan ratakan.
9. Bakar anggaran 15 minit sehingga masak.
10. Terbalikkan kek yang masih agak panas dan gulung menggunakan kertas baking tadi. (Bhg atas menjadi bawah). Sejukkan seketika.
11. Buka gulungan kek dan sapukan dengan blueberi filling. Gulung semula (pastikan tanpa kertas baking. Balut dengan plastik pembalut dan sejukkan seketika.
12. Potong dan hidang.


Kek yang gebu memudahkan proses menggulung tanpa merosakkan kek. Pendek kata, kek tak patah atau pecah.


Kek yang lembut, gebu dan cantik apabila dipotong.

Selamat mencuba.

Sunday, August 31, 2014

ROTI, ROTI DAN ROTI LAGI...


CINNAMON ROLL

bAN GULUNG KISMIS

PIZZA BUNGA

ROTI BHAI

BAN GULUNG KACANG MERAH

Semuanya menggunakan resepi asas dan anda boleh mempelbagaikan hasilnya.


RESEPI ASAS BAN / ROTI



Ban Kelapa

Sumber resepi : Mudahnya membuat ban (Chef Faizal Ng Abdullah & Jalilah Abdullah)

Saya sangat teruja ingin memasak roti home made. Saya telah mencuba memasak pelbagai resepi roti berpandukan buku roti keluaran karangkraf, resepi kawan dan beberapa resepi internet. Malangnya saya amat tidak berpuas hati dengan hasilnya. Kering dan tidak segebu roti yang dijual di pasaran. Allah Maha Mengetahui isi hati saya. Dan, akhirnya saya menemui buku resepi tersebut ketika mengikut suami outstation di Alor Setar. Kedai buku Hassan kut. Lupa pulak saya.

Chef Faizal menurunkan beberapa tips yang semuanya saya ikuti...patuh ajaran chef. Alhamdulillah. Berasaskan satu resepi utama saya berjaya menghasilkan pelbagai jenis dan rupa roti dengan hasil yang indah sekali. Lembut, gebu, wangi. Pendek kata sangat menggembirakan saya sekeluarga. Malah saya pernah jamu kawan2 dan mereka menyukainya. Rasa nak buka bakeri pun ada. Hihihi.

Saya berasa amat gembira kerana resepi ini terbukti menjadi sehingga saya berupaya membuat pelbagai jenis roti kesukaan anak2 tanpa perlu dibeli di kedai lagi. Terima kasih Allah.

Ban Gulung Kismis

Bahan-bahan

500 g tepung high protin
80 g gula halus
50 g shortening / lemak sayuran
20 g yis kering
20 g susu tepung
1/2 sudu kecil bread improver
1/2 sudu kecil garam
2 butir telur gred B atau C
300 ml air (anggaran)
Majerin cair secukupnya untuk disapu di atas ban setelah masak

*Kalau nak buat roti burger, sediakan sedikit bijan putih atau hitam untuk ditabur di atas roti.

Penyediaan:

1. Sediakan mesin pengadun. Saya guna Kitchen Aid yang heavy duty. Alhamdulillah, mudah kerja manguli. Masukkan tepung, susu tepung, bread improver, lemak sayur, yis dan garam. Perlu ingat, letak yis dengan garam berjauhan sedikit sebelum diadun kerana yis tak dapat berfungsi dengan baik jika terkena garam. Gaul semua bahan hingga sebati.

2. Masukkan  telur sebiji demi sebiji. Putar perlahan guna kelajuan no. 1. 

3. Masukkan air sedikit demi sedikit dan terus uli doh selama 10 minit hingga doh lembut dan licin.

4. Tabur sedikit tepung di atas meja menguli. Letakkan doh dan uli seketika. Rehatkan doh 5 ke 10 minit supaya doh kembang. Tutup dengan plastik supaya doh tidak kering. 

5. Apabila doh kembang, uli semula guna tangan anggaran 5 minit sehingga doh nampak licin.

6. Potong dan timbang doh anggaran seberat 50 g setiap satu. 

7. Bentukkan doh bulat2 anggaran 20 biji. Susun jarak2 dalam loyang yang telah disapu shortening. Biar doh kembang dua kali ganda.

8. Pukul sebiji telur. pabila doh dah kembang 2x ganda, sapukan telur ke atas doh. Sapu arah sehala.

9. Akhir sekali taburkan bijan di atas doh dan bakar di tetingkat atas selama 10-15 minit suhu 220C sehingga masak. Keluarkan dan sejukkan.

10. Sejukkan dan bungkus untuk kegunaan bila2 masa.

Selamat mencuba.


Pop Up Egg (Egg Master)



Kalau rujuk internet, macam2 gajet dapur yang ada. Uh Uh...boleh jadi kegilaan suri. Yang ini satu kejadian yang menarik. Apa taknya. Masukkan adunan cair keluar satu roll. Oh, hidup! Begitu mudah. Saya jalan2 di GM Klang dan jumpa kedai membekal gajet 'as seen on TV'...nasib baik dah banyak gajet kat situ saya dah miliki, kalau tak rabak poket dibuatnya. Saya cuma beli satu gajet ini sahaja. Tak sampai seratus. 


Yang ini saya guna 
5 biji telur
1 labu bawang merah medium size
1 tangkai cili merah dicincang
2 camb daun sup cincang
Beberapa titik seasoning
Secubit garam dan gula


Masukkan ke dalam egg master separuh penuh. Kemudian cucukkan lidi sate. Setelah masak ia akan 'pop up'...keluar sendiri. Indahnya hidup...


Nikmati dengan roti bakar. Alhamdulillah, anak2 suka sangat sebagai sarapan.

WAFFLE HOME MADE


Sumber : myresepi, along purnama dan pensonic

Semua bermula dengan kegilaan anak2 membeli waffle tiap kali ke mana2 mall. Akhirnya saya mencari waffle      maker supaya dapat menyediakan sendiri di rumah. Tak payah beli2 lagi la nak. Sayang duit. Hihihi. Bukan kedekut. Tapi rasanya lebih afdhal menyediakan sendiri untuk santapan anak2. Tak kira masa boleh masak ni. 
Beberapa resepi telah saya cuba dan semuanya alhamdulillah... 
Resepi 1:
   2 biji telur
   3/4 cawan susu segar (saya pernah guna susu tepung campur air dan susu       sejat...semuanya ok)
   2 camb minyak sayur
   1 cawan tepung
   1 1/2 camt baking powder
   1 1/2 camt gula 
   1/2 camt garam

  Penyediaan:
    1. Panaskan waffle maker
    2. Pukul telur hingga berbuih sedikit
    3. Campurkan susu dan semua bahan lain. Pukul sebati.

 
   4. Tuang ke dalam waffle maker anggaran dua senduk (saya guna JM Posner)


   5. Biarkan masak perang. Angkat dan sapu sebarang topping kegemaran...kaya atau mentega kacang dll.

  
Resepi 2 
  1. 1/2 cawan tepung gandum
  2. 75 ml susu segar
  3. 2 biji telur asingkan putihnya
  4. 1/2 camt baking powder
  5. 1 camt minyak masak
  6. 1 camt gula halus
  7. Secubit garam 
Penyediaan:
  Pukul putih telur hingga kembang dan gebu (menjadi meringue)
  Dalam bekas berasingan, gaul rata kuning telur, tepung yang telah diayak bersama baking powder,   susu, garam   dan minyak masak.
  Gaul sebati.
  Panaskan waffle maker dan bakar hingga masak.
  Hidang dengan topping kegemaran.
  *Nota : kalau tak ada waffle maker, boleh aje jadikan penkek, masak dalam kuali leper. Rasanya tetap sama cuma rupa berbeza.

  
Resepi along purnama: 
  * waffle coklat 
  1 cawan serbuk coklat
  120 g butter / majerin
  3/4 x 2 cawan gula halus
  4 biji telur
  4 camt esen vanilla
  2 cawan tepung diayak bersama 2 camt baking soda dan 1/2 camt garam
  1 1/2 cawan susu segar campurkan dgn 2 1/2 camt cuka 
  Penyediaan: 
  Gaulkan serbuk coklat, majerin / butter dan gula hingga rata
  Masukkan telur sebiji demi sebiji, gaul
  Masukkan esen vanilla
  Masukkan susu berselang seli dengan tepung
  Bakar dalam waffle maker yang telah dipanaskan hingga masak
  Hidang dengan topping kegemaran.



  Waffle Pensonic

  2 biji telur diasingkan putih dan kuning
  1 1/2 cawan susu segar
  1/2 cawan minyak sayur
  1 3/4 cawan tepung gandum
  1 camb baking powder
  2 camb gula halus (resepi asal 1 1/2 camb)
  1 camt garam
  Esen vanila (optional utk bau yang wangi)

  Penyediaan: 

  Pukul putih telur hingga menjadi meringue
  Dalam bowl lain pukul kuning telur hingga menjadi pekat
  Campurkan susu dan minyak ke dalam kuning telur
  Masukkan bahan-bahan kering dan gaul rata
  Masukkan meringue dan kaup balik hingga sebati
  Bakar dalam waffle maker yang telah dipanaskan terlebih dahulu. Bakar hingga    perang.
  Hidang dengan topping kegemaran
  Selamat mencuba.
  

Nota : Suatu ketika dahulu...tahun 2011 saya pusing keliling mencari waffle maker. Mak aii susahnya nak jumpa kalau dicari. Akhirnya saya jumpa di Parskon Kajang ketika jalan2 hantar anak ke SMK Tinggi Kajang. Jenama Takada. Tak ada? Hahaha...Tengok jenama macam tak caya tapi alhamdulillah. Rupanya cantik dan harganya murah. RM59.00 sahaja ketika itu.  Saya cari lagi waffle maker yang lain sebab tak puas hati waffle tu nipis sangat. Saya suka yang tebal, lembut di dalam crunchy di luar. Jumpa pula Kenwood Multi Snacker. Kalau tak silap RM240.00 kat Onking. Itupun kena order. 4 segi... tak puas hati jugak sebab nak bulat...adoiii...akhirnya dapat juga JM Posner berli secara online dengan penjual barang dari UK. Suka sangat dengan hasilnya. Alhamdulillah.


Friday, August 29, 2014

Asam Pedas ala Chef Wan dan Chef Sabri

Hari ini hari gembira buat saya kerana anak yang tinggal di asrama akan balik. Alhamdulillah. Ramai sikitlah kat meja makan nanti. Seronok makan ramai-ramai. Anak pun dah minta itu ini makanan kegemarannya untuk dimasak. Tiga hari peluang cuti akan dimanfaatkan sebaik mungkin. Naik cuti nak bertarung lagi di medan peperiksaan.

Jadi kali ini saya masak asam pedas sekali lagi. Ikan patin Pahang masih berbaki seekor. Bolehlah dinikmati untuk juadah makan malam. Kali ini saya mencuba resepi Chef Sabri.

Resepi Chef Sabri:

5 sudu makan minyak masak
2 ulas bawang putih dihiris
1 biji bawang merah dihiris
1 inci halia dihiris
1 camt udang kering dikisar
5 camb cili kisar
2 liter air
1 kuntum bunga kantan
40g daun kesum
3 keping asam gelugur
800 g ikan pari ( saya masak ikan patin )
2 biji tomato belah 4
8 biji kacang bendi
1 camt serbuk ikan bilis
Garam gula

Penyediaan:

1. Panaskan kuali. Masukkan minyak, bawang putih, bawang merah, halia dan udang kering. Kacau hingga naik bau.
2. Masukkan pes cili dan kacau hingga pecah minyak.
3. Masukkan air, daun kesum, bunga kantan dan asam gelugor. Kacau hingga mendidih selama 5 minit.
4. Masukkan ikan dan reneh 10 minit. Masukkan tomato dan bendi.
5. Kacau perlahan 3 minit.
6. Masukkan serbuk perasa ikan bilis, gula dan garam secukup rasa.



Resepi asam pedas Chef Wan:

125ml minyak sayuran
125ml jus asam jawa
1 keping nanas dipotong kecil
2 biji tomato dipotong baji
4 camb air
1 kuntum bunga kantan potong 4
4 biji cili padi dibuang biji
2 biji cili merah dipotong memanjang - buang biji
10 tangkai daun kesum
1 ekor ikan siakap 800g
2 camb jus limau nipis
2 helai daun limau purut diracik halus
2 tangkai daun ketumbar dicincang
Garam gula secukup rasa

Bahan pes rempah:

8 biji cili merah buang biji
3 bijicili padi buang biji
6 biji buah keras
1 inci kunyit hidup
2 camt belacan
3 tangkai daun ketumbar
2 helai daun limau purut
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia muda

Proses penyediaan:

1. Satukan bahan pes rempah dan kisar lumat
2. Panaskan minyak dan tumis pes rempah hingga naik bau.
3. Masukkan jus asam jawa, nanas dan tomato serta air.
4. Didihkan dan biar kuah pekat. Perasakan garam gula. Masukkan bunga kantan, cili padi, cili merah serta daun kesum.
5. Letak ikan dalam pinggan kemudian tuang kuah dan stimkan dalam periuk kukus 15-20 minit hingga ikan masak. 
6. Setelah masak, curah jus limau nipis ke dalam ke serata ikan.
7. Bolehlah dihidang.


Selamat mencuba.

Tuesday, August 26, 2014

PUDING COKLAT BELANG



Ini adalah puding asal kepada puding marble coklat cappucino. Resepi asal Cikgu Zariza tu. Orang Kedah. Teringat kat Za tatkala melapis puding ni. Warna pun warna asli. Warna susu, kastad dan serbuk coklat.

Bahan-bahan:

20 g agar2 stripe/tali
4 cawan air
8 camb gula pasir
1 tin susu cair
1 camb serbuk koko
1 camb tepung kastad
1 biji telur
1/2 camt esen vanila

Penyediaan:

1. Masak agar-agar tali bersama air dan gula hingga larut dan mendidih.
2. Campurkan susu cair bersama telur dan tepung kastad. Sebatikan. Kemudian, masukkan esen vanilla.
Kacau sebati.
3. Masukkan campuran ke dalam larutan agar2. Didihkan kejap dan tutup api.
4. Bancuh serbuk koko dengan sedikit air panas anggaran 2 sudu.
5. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian sama banyak. Satu bahagian warna asal dan satu bahagian lagi campurkan bancuhan serbuk coklat.
6. Sendukkan ke dalam loyang berselang seli dari tengah. Ia akan tercorak cantik berbelang dengan pergerakan dan kedudukan lapis yang tersusun.
7. Selamat mencuba.

Nota:

Boleh juga kalau bancuhan coklat mahu dicampur nescafe untuk rasa lebih berperisa.

PUDING MARBLE COKLAT CAPPUCINO




Sumber : IzahDaut dan Cikgu Zariza

Puding marble? Anak2 suka sangat puding nih. Alhamdulillah, mak2 pun suka. Saya masak puding ni adaptasi dari puding belang yang saya tuntut daripada rakan saya ketika bertugas di Shah Alam 20 tahun lepas...Cikgu Zariza. Terima kasih Za...akak dah upgrade puding yang Za ajar. Puding ni guna serbuk agar2 berdasarkan resepi yang kak cuba dari blog izahdaut.blogspot.com. Dulu akak bukan main kagum macam mana Za buleh jadikan puding ni jadi cantik camni...huhuhu

Untuk puding ni, hari ini saya jamu kawan2 untuk acara potluck di sekolah. Suka tengok kawan2 jamah. Alhamdulillah.


Bahan-bahan:
10 g serbuk agar2
2 cawan air
2 cawan susu sejat
3/4 cawan gula pasir
4 camb tepung kastad
1 biji telur (saiz c pun takpe)
3 camb mentega (jangan terlebih, jd guna sudu penyukat khusus)
Secubit garam
1 camt esen vanilla
1 camb emulco coklat
1 camb emulco cappucino


Penyediaan :

Masak air, gula pasir dan agar-agar hingga larut. Campur tepung kastad dengan susu pekat dan kacau hingga larut. Masukkan ke dalam adunan. Kacau selalu. Godak2 sikit telur dan masukkan ke dalam bancuhan bersama mentega. Akhir sekali masukkan garam dan esen vanilla. Biar memekat sedikit tapi jangan terlalu pekat.


Tutup api dan bahagikan kepada dua adunan sama banyak. Anggar sahaja. Tak perlu sukat atau timbang. Hihi. So, bekas biar sama saiz baru senang nak agak atau ukur.


Satu adunan biarkan dengan rasa asal. Satu lagi tambahkan emulco coklat dan emulco cappucino. Sebatikan guna whisk belon.

Lapiskan ke dalam loyang guna senduk sama saiz. Mulakan dari tengah untuk setiap senduk. Adunan akan ketepi sendiri dan menjadi berlapis dengan cantik. Makin banyak layer makin cantik dan menipis layer tersebut.

Setelah siap, sejukkan. Masukkan ke dalam peti sejuk sebelum hidang untuk hasil yang mengujakan.

Selamat mencuba.

Nota:

Nak melayer/melapis kena sabar. Ini pun ada juga menitik sikit2 walau saya dah cukup hati-hati ketika melapis. Yang penting tangan jangan gigil. Kalau tak jumpa kedua-dua emulco berkenaan, boleh tukar emulco coklat kepada 1 camb serbuk coklat dibancuh dengan 1 camb air panas. Emulco cappucino pula ditukar dengan serbuk nescafe campur air panas. 1 camb. juga. Atau boleh juga guna emulco coffee.