Sunday, August 31, 2014

ROTI, ROTI DAN ROTI LAGI...


CINNAMON ROLL

bAN GULUNG KISMIS

PIZZA BUNGA

ROTI BHAI

BAN GULUNG KACANG MERAH

Semuanya menggunakan resepi asas dan anda boleh mempelbagaikan hasilnya.


RESEPI ASAS BAN / ROTI



Ban Kelapa

Sumber resepi : Mudahnya membuat ban (Chef Faizal Ng Abdullah & Jalilah Abdullah)

Saya sangat teruja ingin memasak roti home made. Saya telah mencuba memasak pelbagai resepi roti berpandukan buku roti keluaran karangkraf, resepi kawan dan beberapa resepi internet. Malangnya saya amat tidak berpuas hati dengan hasilnya. Kering dan tidak segebu roti yang dijual di pasaran. Allah Maha Mengetahui isi hati saya. Dan, akhirnya saya menemui buku resepi tersebut ketika mengikut suami outstation di Alor Setar. Kedai buku Hassan kut. Lupa pulak saya.

Chef Faizal menurunkan beberapa tips yang semuanya saya ikuti...patuh ajaran chef. Alhamdulillah. Berasaskan satu resepi utama saya berjaya menghasilkan pelbagai jenis dan rupa roti dengan hasil yang indah sekali. Lembut, gebu, wangi. Pendek kata sangat menggembirakan saya sekeluarga. Malah saya pernah jamu kawan2 dan mereka menyukainya. Rasa nak buka bakeri pun ada. Hihihi.

Saya berasa amat gembira kerana resepi ini terbukti menjadi sehingga saya berupaya membuat pelbagai jenis roti kesukaan anak2 tanpa perlu dibeli di kedai lagi. Terima kasih Allah.

Ban Gulung Kismis

Bahan-bahan

500 g tepung high protin
80 g gula halus
50 g shortening / lemak sayuran
20 g yis kering
20 g susu tepung
1/2 sudu kecil bread improver
1/2 sudu kecil garam
2 butir telur gred B atau C
300 ml air (anggaran)
Majerin cair secukupnya untuk disapu di atas ban setelah masak

*Kalau nak buat roti burger, sediakan sedikit bijan putih atau hitam untuk ditabur di atas roti.

Penyediaan:

1. Sediakan mesin pengadun. Saya guna Kitchen Aid yang heavy duty. Alhamdulillah, mudah kerja manguli. Masukkan tepung, susu tepung, bread improver, lemak sayur, yis dan garam. Perlu ingat, letak yis dengan garam berjauhan sedikit sebelum diadun kerana yis tak dapat berfungsi dengan baik jika terkena garam. Gaul semua bahan hingga sebati.

2. Masukkan  telur sebiji demi sebiji. Putar perlahan guna kelajuan no. 1. 

3. Masukkan air sedikit demi sedikit dan terus uli doh selama 10 minit hingga doh lembut dan licin.

4. Tabur sedikit tepung di atas meja menguli. Letakkan doh dan uli seketika. Rehatkan doh 5 ke 10 minit supaya doh kembang. Tutup dengan plastik supaya doh tidak kering. 

5. Apabila doh kembang, uli semula guna tangan anggaran 5 minit sehingga doh nampak licin.

6. Potong dan timbang doh anggaran seberat 50 g setiap satu. 

7. Bentukkan doh bulat2 anggaran 20 biji. Susun jarak2 dalam loyang yang telah disapu shortening. Biar doh kembang dua kali ganda.

8. Pukul sebiji telur. pabila doh dah kembang 2x ganda, sapukan telur ke atas doh. Sapu arah sehala.

9. Akhir sekali taburkan bijan di atas doh dan bakar di tetingkat atas selama 10-15 minit suhu 220C sehingga masak. Keluarkan dan sejukkan.

10. Sejukkan dan bungkus untuk kegunaan bila2 masa.

Selamat mencuba.


Pop Up Egg (Egg Master)



Kalau rujuk internet, macam2 gajet dapur yang ada. Uh Uh...boleh jadi kegilaan suri. Yang ini satu kejadian yang menarik. Apa taknya. Masukkan adunan cair keluar satu roll. Oh, hidup! Begitu mudah. Saya jalan2 di GM Klang dan jumpa kedai membekal gajet 'as seen on TV'...nasib baik dah banyak gajet kat situ saya dah miliki, kalau tak rabak poket dibuatnya. Saya cuma beli satu gajet ini sahaja. Tak sampai seratus. 


Yang ini saya guna 
5 biji telur
1 labu bawang merah medium size
1 tangkai cili merah dicincang
2 camb daun sup cincang
Beberapa titik seasoning
Secubit garam dan gula


Masukkan ke dalam egg master separuh penuh. Kemudian cucukkan lidi sate. Setelah masak ia akan 'pop up'...keluar sendiri. Indahnya hidup...


Nikmati dengan roti bakar. Alhamdulillah, anak2 suka sangat sebagai sarapan.

WAFFLE HOME MADE


Sumber : myresepi, along purnama dan pensonic

Semua bermula dengan kegilaan anak2 membeli waffle tiap kali ke mana2 mall. Akhirnya saya mencari waffle      maker supaya dapat menyediakan sendiri di rumah. Tak payah beli2 lagi la nak. Sayang duit. Hihihi. Bukan kedekut. Tapi rasanya lebih afdhal menyediakan sendiri untuk santapan anak2. Tak kira masa boleh masak ni. 
Beberapa resepi telah saya cuba dan semuanya alhamdulillah... 
Resepi 1:
   2 biji telur
   3/4 cawan susu segar (saya pernah guna susu tepung campur air dan susu       sejat...semuanya ok)
   2 camb minyak sayur
   1 cawan tepung
   1 1/2 camt baking powder
   1 1/2 camt gula 
   1/2 camt garam

  Penyediaan:
    1. Panaskan waffle maker
    2. Pukul telur hingga berbuih sedikit
    3. Campurkan susu dan semua bahan lain. Pukul sebati.

 
   4. Tuang ke dalam waffle maker anggaran dua senduk (saya guna JM Posner)


   5. Biarkan masak perang. Angkat dan sapu sebarang topping kegemaran...kaya atau mentega kacang dll.

  
Resepi 2 
  1. 1/2 cawan tepung gandum
  2. 75 ml susu segar
  3. 2 biji telur asingkan putihnya
  4. 1/2 camt baking powder
  5. 1 camt minyak masak
  6. 1 camt gula halus
  7. Secubit garam 
Penyediaan:
  Pukul putih telur hingga kembang dan gebu (menjadi meringue)
  Dalam bekas berasingan, gaul rata kuning telur, tepung yang telah diayak bersama baking powder,   susu, garam   dan minyak masak.
  Gaul sebati.
  Panaskan waffle maker dan bakar hingga masak.
  Hidang dengan topping kegemaran.
  *Nota : kalau tak ada waffle maker, boleh aje jadikan penkek, masak dalam kuali leper. Rasanya tetap sama cuma rupa berbeza.

  
Resepi along purnama: 
  * waffle coklat 
  1 cawan serbuk coklat
  120 g butter / majerin
  3/4 x 2 cawan gula halus
  4 biji telur
  4 camt esen vanilla
  2 cawan tepung diayak bersama 2 camt baking soda dan 1/2 camt garam
  1 1/2 cawan susu segar campurkan dgn 2 1/2 camt cuka 
  Penyediaan: 
  Gaulkan serbuk coklat, majerin / butter dan gula hingga rata
  Masukkan telur sebiji demi sebiji, gaul
  Masukkan esen vanilla
  Masukkan susu berselang seli dengan tepung
  Bakar dalam waffle maker yang telah dipanaskan hingga masak
  Hidang dengan topping kegemaran.



  Waffle Pensonic

  2 biji telur diasingkan putih dan kuning
  1 1/2 cawan susu segar
  1/2 cawan minyak sayur
  1 3/4 cawan tepung gandum
  1 camb baking powder
  2 camb gula halus (resepi asal 1 1/2 camb)
  1 camt garam
  Esen vanila (optional utk bau yang wangi)

  Penyediaan: 

  Pukul putih telur hingga menjadi meringue
  Dalam bowl lain pukul kuning telur hingga menjadi pekat
  Campurkan susu dan minyak ke dalam kuning telur
  Masukkan bahan-bahan kering dan gaul rata
  Masukkan meringue dan kaup balik hingga sebati
  Bakar dalam waffle maker yang telah dipanaskan terlebih dahulu. Bakar hingga    perang.
  Hidang dengan topping kegemaran
  Selamat mencuba.
  

Nota : Suatu ketika dahulu...tahun 2011 saya pusing keliling mencari waffle maker. Mak aii susahnya nak jumpa kalau dicari. Akhirnya saya jumpa di Parskon Kajang ketika jalan2 hantar anak ke SMK Tinggi Kajang. Jenama Takada. Tak ada? Hahaha...Tengok jenama macam tak caya tapi alhamdulillah. Rupanya cantik dan harganya murah. RM59.00 sahaja ketika itu.  Saya cari lagi waffle maker yang lain sebab tak puas hati waffle tu nipis sangat. Saya suka yang tebal, lembut di dalam crunchy di luar. Jumpa pula Kenwood Multi Snacker. Kalau tak silap RM240.00 kat Onking. Itupun kena order. 4 segi... tak puas hati jugak sebab nak bulat...adoiii...akhirnya dapat juga JM Posner berli secara online dengan penjual barang dari UK. Suka sangat dengan hasilnya. Alhamdulillah.


Friday, August 29, 2014

Asam Pedas ala Chef Wan dan Chef Sabri

Hari ini hari gembira buat saya kerana anak yang tinggal di asrama akan balik. Alhamdulillah. Ramai sikitlah kat meja makan nanti. Seronok makan ramai-ramai. Anak pun dah minta itu ini makanan kegemarannya untuk dimasak. Tiga hari peluang cuti akan dimanfaatkan sebaik mungkin. Naik cuti nak bertarung lagi di medan peperiksaan.

Jadi kali ini saya masak asam pedas sekali lagi. Ikan patin Pahang masih berbaki seekor. Bolehlah dinikmati untuk juadah makan malam. Kali ini saya mencuba resepi Chef Sabri.

Resepi Chef Sabri:

5 sudu makan minyak masak
2 ulas bawang putih dihiris
1 biji bawang merah dihiris
1 inci halia dihiris
1 camt udang kering dikisar
5 camb cili kisar
2 liter air
1 kuntum bunga kantan
40g daun kesum
3 keping asam gelugur
800 g ikan pari ( saya masak ikan patin )
2 biji tomato belah 4
8 biji kacang bendi
1 camt serbuk ikan bilis
Garam gula

Penyediaan:

1. Panaskan kuali. Masukkan minyak, bawang putih, bawang merah, halia dan udang kering. Kacau hingga naik bau.
2. Masukkan pes cili dan kacau hingga pecah minyak.
3. Masukkan air, daun kesum, bunga kantan dan asam gelugor. Kacau hingga mendidih selama 5 minit.
4. Masukkan ikan dan reneh 10 minit. Masukkan tomato dan bendi.
5. Kacau perlahan 3 minit.
6. Masukkan serbuk perasa ikan bilis, gula dan garam secukup rasa.



Resepi asam pedas Chef Wan:

125ml minyak sayuran
125ml jus asam jawa
1 keping nanas dipotong kecil
2 biji tomato dipotong baji
4 camb air
1 kuntum bunga kantan potong 4
4 biji cili padi dibuang biji
2 biji cili merah dipotong memanjang - buang biji
10 tangkai daun kesum
1 ekor ikan siakap 800g
2 camb jus limau nipis
2 helai daun limau purut diracik halus
2 tangkai daun ketumbar dicincang
Garam gula secukup rasa

Bahan pes rempah:

8 biji cili merah buang biji
3 bijicili padi buang biji
6 biji buah keras
1 inci kunyit hidup
2 camt belacan
3 tangkai daun ketumbar
2 helai daun limau purut
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia muda

Proses penyediaan:

1. Satukan bahan pes rempah dan kisar lumat
2. Panaskan minyak dan tumis pes rempah hingga naik bau.
3. Masukkan jus asam jawa, nanas dan tomato serta air.
4. Didihkan dan biar kuah pekat. Perasakan garam gula. Masukkan bunga kantan, cili padi, cili merah serta daun kesum.
5. Letak ikan dalam pinggan kemudian tuang kuah dan stimkan dalam periuk kukus 15-20 minit hingga ikan masak. 
6. Setelah masak, curah jus limau nipis ke dalam ke serata ikan.
7. Bolehlah dihidang.


Selamat mencuba.

Tuesday, August 26, 2014

PUDING COKLAT BELANG



Ini adalah puding asal kepada puding marble coklat cappucino. Resepi asal Cikgu Zariza tu. Orang Kedah. Teringat kat Za tatkala melapis puding ni. Warna pun warna asli. Warna susu, kastad dan serbuk coklat.

Bahan-bahan:

20 g agar2 stripe/tali
4 cawan air
8 camb gula pasir
1 tin susu cair
1 camb serbuk koko
1 camb tepung kastad
1 biji telur
1/2 camt esen vanila

Penyediaan:

1. Masak agar-agar tali bersama air dan gula hingga larut dan mendidih.
2. Campurkan susu cair bersama telur dan tepung kastad. Sebatikan. Kemudian, masukkan esen vanilla.
Kacau sebati.
3. Masukkan campuran ke dalam larutan agar2. Didihkan kejap dan tutup api.
4. Bancuh serbuk koko dengan sedikit air panas anggaran 2 sudu.
5. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian sama banyak. Satu bahagian warna asal dan satu bahagian lagi campurkan bancuhan serbuk coklat.
6. Sendukkan ke dalam loyang berselang seli dari tengah. Ia akan tercorak cantik berbelang dengan pergerakan dan kedudukan lapis yang tersusun.
7. Selamat mencuba.

Nota:

Boleh juga kalau bancuhan coklat mahu dicampur nescafe untuk rasa lebih berperisa.

PUDING MARBLE COKLAT CAPPUCINO




Sumber : IzahDaut dan Cikgu Zariza

Puding marble? Anak2 suka sangat puding nih. Alhamdulillah, mak2 pun suka. Saya masak puding ni adaptasi dari puding belang yang saya tuntut daripada rakan saya ketika bertugas di Shah Alam 20 tahun lepas...Cikgu Zariza. Terima kasih Za...akak dah upgrade puding yang Za ajar. Puding ni guna serbuk agar2 berdasarkan resepi yang kak cuba dari blog izahdaut.blogspot.com. Dulu akak bukan main kagum macam mana Za buleh jadikan puding ni jadi cantik camni...huhuhu

Untuk puding ni, hari ini saya jamu kawan2 untuk acara potluck di sekolah. Suka tengok kawan2 jamah. Alhamdulillah.


Bahan-bahan:
10 g serbuk agar2
2 cawan air
2 cawan susu sejat
3/4 cawan gula pasir
4 camb tepung kastad
1 biji telur (saiz c pun takpe)
3 camb mentega (jangan terlebih, jd guna sudu penyukat khusus)
Secubit garam
1 camt esen vanilla
1 camb emulco coklat
1 camb emulco cappucino


Penyediaan :

Masak air, gula pasir dan agar-agar hingga larut. Campur tepung kastad dengan susu pekat dan kacau hingga larut. Masukkan ke dalam adunan. Kacau selalu. Godak2 sikit telur dan masukkan ke dalam bancuhan bersama mentega. Akhir sekali masukkan garam dan esen vanilla. Biar memekat sedikit tapi jangan terlalu pekat.


Tutup api dan bahagikan kepada dua adunan sama banyak. Anggar sahaja. Tak perlu sukat atau timbang. Hihi. So, bekas biar sama saiz baru senang nak agak atau ukur.


Satu adunan biarkan dengan rasa asal. Satu lagi tambahkan emulco coklat dan emulco cappucino. Sebatikan guna whisk belon.

Lapiskan ke dalam loyang guna senduk sama saiz. Mulakan dari tengah untuk setiap senduk. Adunan akan ketepi sendiri dan menjadi berlapis dengan cantik. Makin banyak layer makin cantik dan menipis layer tersebut.

Setelah siap, sejukkan. Masukkan ke dalam peti sejuk sebelum hidang untuk hasil yang mengujakan.

Selamat mencuba.

Nota:

Nak melayer/melapis kena sabar. Ini pun ada juga menitik sikit2 walau saya dah cukup hati-hati ketika melapis. Yang penting tangan jangan gigil. Kalau tak jumpa kedua-dua emulco berkenaan, boleh tukar emulco coklat kepada 1 camb serbuk coklat dibancuh dengan 1 camb air panas. Emulco cappucino pula ditukar dengan serbuk nescafe campur air panas. 1 camb. juga. Atau boleh juga guna emulco coffee.


Thursday, August 21, 2014

MISSISIPPI MUD CAKE

Sumber: http://www.foodnetwork.com/recipes/paula-deen/mississippi-mud-cake-recipe.html

Kek ini merupakan antara kek coklat yang sangat saya gemari. Ia sangat lembut dan berkrim di bahagian bawah kek. Saya bukanlah penggemar coklat. Namun, apabila pertama kali memasak dan menikmati kek ini, saya mula menyukainya dan membuatnya berulang kali.

Malah, anak yang menggemari kek ini juga suka apabila tahu saya memasaknya. Namun, jika memasak kek, saya tak suka menghias atas sebab-sebab kesihatan. Saya juga tak galakkan anak2 makan topping yang berlemak dan berminyak tu.

Kek coklat ni padat dan lembap, sesuai dihidang utk minum petang atau sbg manisan jika dihidang dgn krim putar atau aiskrim.




Bahan-bahan 
(Resepi yang saya taip di bawah pula adalah resepi buku tentang coklat milik saya.)

250 g mentega tanpa garam
175 g coklat biasa dipatahkan atau diricih
340 g gula perang
300 ml air panas
1 camb kopi segera

Campurkan semua dan cairkan secara double boiler…kacau sebati dan rehatkan 15 minit. Baunya sangat harum saat ia mencair. Hummmm...

200 g tepung gandum*
55 g tepung kek*
55 g serbuk coklat*
2 biji telur dipukul sedikit

Ayak bahan bertanda *. Campurkan semua ke dlm cairan coklat dan kacau sebati. Tak perlu guna mixer elektrik. Guna whisk belon saja ye.


Bakar dlm ketuhar 160C yang telah dipanaskan terlebih dahulu…lebih kurang 1 jam (hingga masak)…alhamdulillah, hidang setelah disejukkan sekejap…hiasan ikut kreativiti…

Selamat mencuba.

Donut Lembut Menggebu...


Gemar makan donut. Hummm...anak2 memang suka makan donut kan? Ibu ayah pun ada yang menggemari donut. Donut dalam gambar ini adalah hasil resepi HaSue dan CT Delima. Alhamdulillah, selalu donut saya tak selembut donut ini walau dah banyak kali cuba. Resepi kawan2 pun selalunya tidak ada sukatan khusus. Itu sebabnya selalu tak menjadi. Yang ini, alhamdulillah. Makin sukalah saya ke dapur.

Resepinya:

500 gm tepung gandum berprotein tinggi tapi hasilnya lebih baik jika guna tepung gandum
1 peket yis segera -11gram jenama mauripan tapi sy memang guna yis kotak 500g tu jadi saya ambil 1 camb
50 gm marjerin...mentega pun boleh
1 camb shortening (lemak sayuran) - Guna terlebih sikit pun takpe
2 camb gula pasir
2 camb susu pekat / 2 sudu makan susu tepung (ikut citarasa) - Guna kedua2 lagi sedap
1 biji telur - dipukul sekejap
1/2 camt garam
Gula halus atau topping kegemaran
190 ml - 200 ml air suam2 kuku (bergantung pada kualiti tepung)

Cara-cara:
1. Tuang air suam ke dalam mangkuk adunan. Masukkan yis segera,gula pasir,susu,marjerin dan shortening. Kacau sedikit dan biarkan selama 8-10 minit.

2. Apabila yis mula berbuih, ayakkan separuh dari tepung gandum terus ke dalam adunan. Masukkan pula telur yg dpukul sedikit dan juga garam.

3. Kacau adunan sehingga sebati dan melekat pada sudu (bila dah sebati, kacau satu arah saja menggunakan sudu).

4. Ayak lagi tepung selebihnya,gaul menggunakan sudu seketika barulah uli menggunakan tangan. (Saya guna KA mixer...tak guna tangan)

5. Uli sehingga doh sebati dan tidak lekat di tepi mangkuk adunan.

6. Doh tidak perlu direhatkan,(kalau nak rehatkan pun boleh gak selama 5-10min) boleh terus sahaja dicanai setebal setengah inci. Tambah sedikit2 tepung jika adunan agak lembik ketika ini..Terap doh mengikut acuan donut atau bentuk kesukaan. Doh akan mula mengembang dan ringan sementara minyak dipanaskan dengan api perlahan..Gunakan minyak yang banyak untuk mengoreng.

7. Setelah minyak agak panas, perlahankan sedikit api, masukkan donut tetapi jangan terlampau penuh sebab donut ni akan mngembang lagi ketika digoreng (sebab adunan mengandungi telur).

8. Apabila siap, hidangkan donut dengan topping kegemaran.



Anda juga boleh menggunakan resepi yang saya juga pernah cuba dari blog Bila Chah ke Dapur...Donut ni pun lembut juga..

Bahan-bahan:

2 1/2 cawan tepung gandum
2 sudu kecil yis kering (mauripan)
1 1/2  sudu besar shortening
2 sudu besar susu tepung
1 sudu besar bread softener
1 sudu kecil donut improver
2 sudu besar gula
1/4 sudu kecil garam halus
1 cawan air (tambah atau kurangkan sedikit jika perlu)


Cara-cara:
§     Campurkan semua bahan kecuali garam dan air. 
§     Gaul rata dan masukkan air sedikit demi sedikit. 
§     Bila sudah mendapat adunan yang tidak melekat pada tangan, masukkan garam. 
§     Uli hingga menjadi doh yang kenyal dan agak elastik. 
§     Untuk menentukan doh yang ok, tekstur tepungnya menjadi halus dan tidak menggerutu. Gula juga akan hancur sepenuhnya.
§     Tutup doh dengan plastik dan rehatkan hingga naik dua kali ganda. 

Tips Chah:

Untuk mempercepatkan proses yis bertindak balas, masukkan air panas dalam mangkuk dan letakkan dalam rak yang paling bawah dalam oven. Manakala doh tadi letakkan di rak yang paling atas. Ini kerana proses pengembangan yis akan menjadi aktif dalam suhu yang suam dan lembab. Cara lain : panaskan oven sebentar hingga mencapai suhu 37-38 darjah C (suam) Tutup api oven dan rehatkan doh di dalam oven tersebut

§     Bila doh sudah mengembang, tumbukkan udara yang terkandung di dalamnya dan bentukkan mengikut paten kesukaan. 
§     Rehatkan lagi hingga naik sekali ganda. 
§     Goreng dengan api yang sederhana hingga garing di luar dan gebu di dalam. 
§     Salut dengan gula atau sebarang topping kesukaan. 
§     Resepi ini pun saya mix / uli guna KA jugak...yelah, dah ada pembantu kan? Jadi tak perlu berpenat guna tangan.

Wednesday, August 13, 2014

APAM BALIK


Sumber resipi: Pn Zaine Hj Puteh

Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula pasir
1/2 camt soda bikarbonat
1/2 camt serbuk penaik
1 biji telur
1 1/2 cawan air
1 cawan jagung manis
1/2 cawan kacang tanah
Mentega secukupnya
Gula pasir secukupnya

Penyediaan:
1. Satukan tepung, gula, soda bikarbonat, serbuk penaik dan sedikit garam.
2. Masukkan adunan ke dalam adunan tepung dan pukul hingga naik dan sebati.
3. Tuang air sedikit demi sedikit.
4. Kacau sebati dan rehatkan dua jam.
5. Panaskan kuali dan sapu sedkit mentega. Masukkan adunan apam. Kemudian taburkan gula.
6. Akhir sekali, letakkan mentega, jagung manis dan kacang tanah. Setelah masak, lipat dua dan angkat untuk dihidangkan.

Selamat mencuba.

Kuih Dadar Polkadot




Resepi : Kak Wan
Sumber : CT Delima

Bahan-bahan:
1 cawan tepung gandum
2 biji telur
2 helai daun pandan
1 1/2 cawan santan atau susu cair
1 camt garam
Pewarna kuning / hijau
Sedikit pewarna untuk polkadot, resepi asal coklat tapi saya guna merah
1 camb majerin cairkan
sedikit minyak untuk disapu pada kuali ( saya guna crepe maker)

Inti
1/2 biji kelapa parut putih
3/4 cawan nissan/gula melaka/gula merah
Sedikit air
1 helai daun pandan
1 camb tepung pulut / jagung ( saya tak gunakan)


Penyediaan:
1. Untuk inti - masukkan kelapa parut, air dan gula merah/melaka serta sehelai daun pandan. Masak hingga pekat dan tabur sedikit tepung untuk kentalkan inti. Kacau sebati. Angkat dan boleh buang daun pandan.

2. Untuk dadar - Satukan semua bahan dan blend hingga sebati dan tidak berketul. Tapis.

3. Panaskan kuali dan lenser sedikit minyak. Sendukkan 1 senduk adunan, saiz senduk jangan terlalu besar. Layang kuali biar adunan jadi bulat kemas. Masak 2 ke 3 minit. Angkat. Isikan inti dan gulung.

Alhamdulillah anak2 suka dengan rupa dan rasanya. Terima kasih Kak Wan dan CT atas inovasi resepi tradisi ini.

Selamat mencuba.

Pizza Home Made versi Jamie Oliver

Pizza Sardin Simple


Sumber : http://www.jamieoliver.com/recipes

Bahan-bahan:

1 kg tepung roti atau 800g tepung roti campur 200g tepung semolina/suji
1 camt garam
14 g yis kering
1 camb gula kastor
4 camb minyak zaitun
650 g air suam kuku


Pizza Sosej

Penyediaan:

Ayak tepung dan garam. Masukkan ke dalam mangkuk adunan. Ketepikan. Saya guna Kitchen Aid Mixer yang heavy duty tu untuk menguli, jadi tak perlu uli tangan seperti yang ditunjukkan dalam resepi Jamie tu. Mudah hidup ni kan?

Campurkan air suam di dalam jug dengan yis, gula, dan minyak zaitun. Biar beberapa minit hingga ia berbuih.

Letakkan mangkuk adunan pada mixer dan mula putar perlahan sambil tuang sikit2 campuran air dan yis tadi. Uli hingga sebati. Tutup dengan tuala lembab dan biarkan seketika hingga ia naik dua kali ganda.

Setelah doh naik, uli sekali lagi sekejap saja. Kalau uli tangan takde sekejap kut kalau tengok Chef Wan menguli dulu...

Tabur meja kerja menguli dengan tepung, keluarkan adunan ke atas tepung dan uli kejap. Potong 4 bahagian (atau seberapa suka ikut saiz pan pizza).

Canai ikut saiz pan. Sapu sos pizza sama ada kimball, prego atau sos home made dan boleh bubuh topping kesukaan serta keju. Wow...alhamdulillah...boleh menyaingi pizza hut atau domino tau doh pizza Jamie ni...Alhamdulillah.



Pizza Crabstick Filamen

Untuk membakar piza, pastikan oven dah dipanaskan terlebih dahulu 200C. Masa memasak anggaran 15 ke 25 minit bergantung kepada saiz dan ketebalan piza.

Topping tu boleh dibakar dahulu bersama doh, dan mayonis dan keju boleh diisi apabila doh dah masak. Dan masukkan semula ke dalam oven lebih kurang 3 ke 5 minit untuk hasil yang yummy yummy. Keraknya tu amat rangup jika kita campur dengan tepung semolina. Tapi kalau menggunakan 100% tepung roti pun dah ok.

Selamat mencuba.

Monday, August 11, 2014

DENDENG BERLADO

Alhamdulillah. Dengan daging Idil Fitri yang masih tersimpan lebihan stoknya, dapatlah saya memasak daging dendeng untuk hidangan makan malam ini. Saya suka merujuk beberapa sumber untuk mendapat hasil terbaik. Alhamdulillah juga, resepi Chef Wan menepati citarasa selera saya.

Saya suka menggunakan cili jenis kerinting kerana ciri kepedasannya yang enak sekali. Alhamdulillah anak2 tahan makan lauk ini walau ia agak pedas.


Sumber : Chef Wan

Bahan-bahan:
500 daging
4 camb kicap pekat manis
3 helai daun limau purut disiat
3 camb cuka putih
Minyak secukupnya
Garam gula secukupnya

Bahan pes rempah:
8 tangkai cili merah/kering, buang biji dan hiris nipis
3 ulas bawang putih
6 biji bawang merah


Penyediaan:

1. Rebus daging hingga empuk. Hiris nipis dan ketuk secukupnya. Kemudian perap dengan kicap manis beberapa minit.

2. Satukan bahan pes dan kisar lumat.

3. Panaskan minyak dan goreng daging hingga garing, ketepikan.

4. Keluarkan lebihan minyak dan tinggalkan anggaran 2 sudu besar. Tumis pes rempah hingga naik bau.

5. Masukkan daging goreng tadi. Masukkan juga daun limau purut, garam, gula dan cuka.

6. Kacau sebati beberapa minit. Hidangkan dengan hiasan mengikut selera. Enak dimakan dengan nasi panas.


Selamat mencuba.

Sunday, August 10, 2014

PUDING NAGA MERAH

Alhamdulillah. Setelah membiasakan diri dengan agar-agar serbuk, akhirnya saya berjaya mengolah sendiri puding naga merah. Kebetulan ada banyak stok buah naga. Takut rosak dan terbuang begitu sahaja, lebih baik dimasak untuk dinikmati sekeluarga. Alhamdulillah, hasilnya sedap dimakan ketika berbuka puasa bulan lepas.


Bahan-bahan:

1 pek agar2 serbuk 10g
850 air sejuk
200g gula
2 butir telur
1 camt esen vanilla
1 biji buah naga
1 tin susu cair
Secubit garam



Cara-cara:

1. Kisar buah naga bersama susu
2. Masak agar2, gula dan air hingga ia larut
3. Masukkan telur ke dalam mangkuk dan godak2 guna garfu, masukkan ke dalam periuk agar2 dan kacau supaya tidak berketul
4. Masukkan buah naga kisar dan kacau
5. Masukkan garam dan vanilla
6. Tuang ke dalam loyang atau acuan kesukaan dan sejukkan
7. Sejukkan ke dalam peti ais untuk menikmati puding yang mengujakan.
Selamat mencuba.


ASAM PEDAS IKAN PATIN


1 ekor ikan patin saiz sederhana
1 bunga kantan - belah 2
1 ikat daun kesum
1 sb pes asam jawa adabi
Kacang bendi secukupnya
2 biji tomato belah 2
Garam dan perasa

Bahan kisar:
5 ulas bawang putih
2 biji bawang merah besar saiz sederhana
1 inci halia
1 senduk cili giling (saya guna cili digiling sendiri
1 ketul belacan sebesar ibu jari

Kisar bawang, halia dan belacan. Tumis bahan kisar hingga wangi dan masukkan cili giling. Masak sehingga cili benar benar masak dan wangi. Apbl sudah terbit minyak, masukkan bunga kantan, Masukkan air mengikut citarasa jumlahnya. Masak dengan api perlahan sehingga mendidih, baru dimasukkan ikan dan asam jawa. Renih atas dapur dan masuk daun kesum, kacang bendi, tomato, garam dan serbuk perasa. Sesuaikan kepekatan kuah ikut citarasa....

KEK PLUM CARAMEL




Mencuba resepi Chef Ina Garten dalam rancangan Barefoot Contessa di Asian Food Channel. Walau tak pasti sukatannya namun alhamdulillah menjadi dan sedap rasanya. Buat kali pertama suami betul2 makan kek ni dan cakap sedap, selalu dia makan je tanpa komen. Alhamdulillah.

Bahan-bahan:

6 biji plum dibelah dua dan dibuang biji

1/2 cawan gula dijadikan gula hangus
1 cawan air
6 camb butter
3/4 cawan gula
2 butir telur ayam gred A
1 camb kulit lemon parut
1 camt esen vanilla
1 cawan krim masam (yogurt pun boleh)
1 cawan tepung kek + 1 camt garam
1 camb baking powder

Cara2:

1. Susun buah plum dlm acuan bulat…sy guna kaca 20cm, dan tuangkn gula hangus ke atasnya.

2. Ayak tepung, baking powder dan garam. Ketepikan.


2. Putar butter dan gula dan masukkan telur ayam satu persatu dan putar lagi hingga kembang.


3. Masukkan adunan tepung dan kacau guna senduk atau whisk belon.

4. Masukkan krim masam, kulit lemon dan esen vanilla. Sebatikan.


5. Masukkan adunan ke dalam acuan. Bakar pada suhu 250 C selama 30 minit atau hingga masa.


Selamat mencuba. 




Susunan buah plum yang telah dipotong. Terbalikkan bahagian isi menghadap bawah loyang.


Hasil yang telah masak dan dikeluarkan dari loyang.

Saturday, August 9, 2014

Nasi Kerabu

Sumber resepi : Azie Kitchen dan Wanzafalis
Sumber resepi : Arwah Emak 

Nasi kerabu putih

Alhamdulillah...sampai juga hajat nak masak nasi kerabu sendiri. Selalu masak stail Terengganu arwah mak masak...gaul semua bahan sambal, ulam dan serunding ikan. Kali ni cuba stail Kelantan pulak.
Sambal Kelapa

Bahan-bahannya:

Sebiji kelapa parut disangai garing (warna dark brown) dan ditumbuk lumat (jangan sampai pecah minyak)
5-6 ekor isi ikan selayang/sardin atau kembung (paling baik dibakar kerana akan kurang hanyir berbanding dikukus atau direbus)
6 ulas bawang merah
10-15 biji lada hitam

2 inci halia
3-4 batang serai (lihat saiz)
gula/gula melaka, garam secukup rasa 

Cara:
Tumbuk halus/lumat semua bahan. Gaulkan hingga sebati/mesra. Nak kisar guna blender pun ok tapi kalau blend pastikan air sikit dan sangai semula semua bahan setelah ditumbuk dengan kelapa sangai sehingga ia kering.

Sambal Tumis
1 kg santan
5-7 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 inci halia
3-4 batang serai
10 biji cili kering
Gula/gula melaka
Asam keping
Budu
Garam (rasa dahulu, takut terlebih masin)

Cara memasak:

Masukkan santan dalam periuk. Biarkan hingga menggelegak, tak kacau pun takpe.
Kisar semua bahan kecuali asam keping. Masukkan dalam santan yang sedang menggelegak tadi bersama asam keping. Kacau sekali-sekala.Masukkan gula,budu dan garam. Masak sampai kuah pekat dan pecah minyak. Rasanya mesti masam, manis dan masin.

Ulaman:

Timun
Kacang panjang
Kubis
Bunga Kantan
Daun Kesum
Taugeh
Racik halus dan gaul bersama.
Pucuk Serai Kayu / pucuk daun salam

Air Lada :

10 biji cili padi merah
Cuka
gula
garam
Cili ditumbuk/dimesin bersama-sama dengan gula dan garam (1 bhgn garam, 2 bhgn gula) dan dibancuh dengan cuka.

Nasi

Nasi putih atau,
Nasi biru (campurkan pewarna biru atau kalau ada, air bunga telang - dan campurkan daun limau purut serta serai untuk aroma) atau,
Nasi kuning

Budu

Satu botol budu
Satu botol air (guna botol budu)
1 labu bawang merah - hiris
2 batang serai - hiris
2 helai daun limau purut - potong
2 biji limau nipis
3 cili api

Cara : Masak semua bahan sampai mendidih kecuali limau nipis. Dah masak, perahkan limau tadi. Boleh saje masukkan sekali kulitnya ke dalam budu yang telah masak.

atau

Budu tak dimasak pun takpe, cuma perahkan asam limau ke dalamnya.

Lauk:
Solok lada
Daging/ayam bakar
Ayam goreng
Ikan celup tepung
Keropok goreng

Telor masin
Selamat mencuba.

Nasi kerabu biru