Tuesday, November 24, 2015

Nasi Dagang dengan Gulai Ayam Dagang Simply Sedap

Nasi Dagang Terengganu. Menu nostalgia yang menjadi kenangan yang tak kunjung padam. Kalau dah memang anak Terengganu, semestinya berupaya dan mampu masak nasi istimewa ini dengan sempurna. Hummmm...sempurna. Susah jugak nak cerita bagaimana tahap kesempurnaan nasi dagang yang sepatutnya. Heeee. Namun, beras dagang sepatutnya masak dengan lembut setelah dikukus dan beraroma yang mengujakan. Jadi anak Terengganu, atau bakal jadi anak Terengganu kerana bertemu jodoh dengan putera kelahiran negeri ini, sewajarnya disyukuri kerana berpeluang untuk meneroka menu istimewa ini.

Ketika remaja dulu, saya akan duduk membantu di dapur ketika ada majlis yang mengumpulkan saudara mara dan jiran tetangga yang akan masak menu ini sebagai hidangan utama. Sekurang-kurangnya sekadar mengupas bawang dan halia serta memayangnya halus-halus. Kemudian, saya akan perhati setiap perlakuan ibu2 berpengalaman mengukus dan 'arong' nasi ini dengan penuh minat. Apabila sahaja nasi dan gulai dagang ikan aya masak, saya akan menjadi antara tukang rasa yang paling dahulu dapat menikmatinya. Hahahaha. Seronok. Nanti makcik2 akan isi pinggan saya dengan kuah yang banyak sebab saya amat gemar makan nasi dagang kuah gulai banjir. Heeeeee.

Selain itu, saya juga suka meratah acar timun yang masam2 manis tu. Sedap sungguh. Alhamdulillah. Syukur menjadi anak negeri yang terkenal banjir di hujung tahun ini. Ermmm...banjir pun anugerah jugak. Memang susah tatkala tiba musim itu, tapi ia dugaan yang selalu orang sana alami. Cuma, kampung saya di daerah Kuala Terengganu tidak pernah dilanda banjir. Alhamdulillah. Semoga tahun ini, Allah akan terus beri ketabahan kepada sesiapa sahaja hambaNya, jika ditimpa dugaan itu lagi.

Menurut penjual daging di tempat saya, ada pelanggannya 
menjual nasi lemak setiap hari di Putrajaya dengan lauk gulai daging.


Okey, cukuplah berceloteh. Hari ini, saya ingin bercerita tentang keterujaan memasak nasi dagang. Minggu lepas, ketika balik ke sana, saya banyak menikmati sup perut dan nasi minyak sebab dalam misi hendak menimba ilmu memasak dalam kuantiti yang banyak. Hanya sekali saya sempat jamah nasi dagang. Pagi2 tadi, buka peti ais, lihat ada satu pek ayam kampung organik. Terfikir juga nak masak apa, dan mengingatkan stok rempah yang masih banyak, saya fikir elok kalau saya masak nasi dagang. Oleh sebab dah pagi, saya guna beras wangi sahaja...iaitu beras wangi saga Siam Super Import yang jenis berderai kalau dah siap masak dan direndam selama setengah jam aje. Kalau guna beras wangi, tak perlulah rendam semalaman atau 8 jam. Tapi kalau beras wangi lain, tak perlu rendam pun tak apa...dan tak perlu juga campur pulut sebab ia dah lembut dan sedikit melekit sebab banyak kanji. Saya masak untuk dua kali makan iaitu tengah hari dan malam terus sebab penat mengikuti trip ke Langkawi masih belum habis.

Nasi dagang ni putih melepak, tapi gambar ambil pakai camera phone aje...hiii...
tak begitu nampak putih dn melepaknya tu!


Bahan-bahan nasi dagang:

5 pot beras wangi direndam 1/2 jam...
2 cawan santan pekat
2.5 ke 3 cawan santan cair (bergantung jenis beras)
3 ulas bawang merah dimayang halus
1 inci halia muda dimayang halus
1 sudu besar halba (saya guna sudu penyukat dan diukur paras)
1 sudu besar garam dicampur bersama santan pekat (santan pekat siap perah ni saya panaskan dlm microwave 2 minit - tak panaskan pun takpe, tapi saya ingat dulu arwah emak perah kelapa dengan air hangat)
3 helai daun pandan dicarik sedikit
Daun pisang secukupnya

Penyediaan:

Panaskan air kukusan
Masukkan beras yang telah ditoskan ke dalam pengukus yang telah dialas daun pisang
Kukus hingga separuh masak anggaran wap keluar lebih kurang 15 ke 20 minit...boleh agak untuk proses ini...
Bila beras dah separuh masak, keluarkan dan masukkan ke dalam besen besar. Kacau sambil disiram santan cair. Pastikan sebati.
Betulkan alas daun pisang. Lapikkan pula dengan daun pandan dan tuangkan bancuhan nasi dengan santan tadi ke dalam kukusan. Ratakan sedikit.
Kukus lagi hingga masak. Boleh pastikan dengan keluarnya wap kukusan sekali dua. Jangan lama sangat, nanti nasi benyek. Kalau kali pertama buat, boleh periksa nasi sebelum diangkat.
Setelah nasi masak, angkat dan masukkan ke dalam besen besar tadi semula.
Masukkan bawang halia dan halba dan kacau ketika masih panas hingga sebati dan ratakan nasi tadi di dalam besen. Ini cara orang Terengganu buatlah. Seninya tuh.
Bila mahu dihidang, gemburkan perlahan2 bahagian tepi besen dan sendukkan ke dalam pinggan.



Gulai Dagang Ayam Kampung:

1 ekor ayam kampung atau ayam daging atau ayam tua dah pencen pun ok
1 biji kelapa untuk santan (boleh guna 500ml santan kotak)
1 mangkuk air (boleh tambah ikut kesesuaian / kepekatan kuah)
1 senduk cili kisar
3 sudu besar rempah gulai dagang
5 ulas bawang merah*
1 labu bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*
1/2 inci lengkuas*
1 keping asam gelugor
Sebuku lebih kurang 2 ruas jari nissan (manisan / gula melaka ? atau boleh ganti gula merah)
6 biji buah belimbing (optional)
10 biji cili api merah
Garam dan perasa secukupnya (saya biasa guna sedikit ajinomoto memandangkan memang sejak kecil arwah emak memang gunakannya ketika masak untuk rumah atau untuk pelanggan yang makan masakan arwah emak di kedai kopi milik arwah ayah)
Sedikit minyak untuk menumis

Penyediaan:

Bersihkan ayam, tos dan ketepikan
Tumis bahan kisar dan cili kisar hingga wangi dan pecah minyak
Masukkan rempah gulai dagang dan tumis sekejap lagi
Masukkan ayam dan tutup periuk sekejap
Masukkan santan dan renehkan hingga ayam agak empuk
Tambahkan asam keping dan manisan / gula melaka 
Biarkan sekejap
Perisakan garam gula
Tambah belimbing buluh kalau ada dan cili api
Didihkan sebentar sahaja dan tutup api



Acar Timun:

2 biji timun dipotong memanjang seperti gambar
1/2 batang lobak merah (hari ini saya tiada stok carrot jadi saya tak tambah) dipotong halus dan panjang
1 batang cili merah dimayang
2 ulas bawang merah dimayang
Sedikit garam dan gula serta cuka (saya guna cuka epal)

Penyediaan:

Campurkan semua sekali dan perap sekejap anggaran 1/2 jam ke atas
Gulanya biar melebihi garam sebab kalau masin, kurang enak

Alhamdulillah. Siap.

No comments:

Post a Comment