Thursday, December 24, 2015

Kek Soft Rainbow

Wow...beberapa hari yang amat sibuk hingga tiada kesempatan nak jenguk blog. Penghujung cuti yang penuh dengan aneka kerja yang tidak berkesudahan. Apapun gagahkan diri masuk dapur untuk masak nasi lemak dan bakar sebiji kek awal pagi tadi. Kek diolah daripada resepi asal kek soft marble. Kek soft marble dah selalu buat...buat pelangilah pulak ye. Resepi asal daripada buku resipi Kek Mentega yang ada dalam koleksi saya.


Kek ni dipotong sebelum betul2 sejuk sebab anak2 dah tak tahan cium aromanya setelah agak lama saya tak bakar kek di dapur.


Kek Soft Rainbow

Bahan 1:
300 gm mentega
5 sdb susu pekat manis diputar hingga lembut seperti di atas...ketepikan


Bahan 2:

10 bj telur
300gm gula kastor
420 gm tepung gandum
1 1/2 sdb ovelet
60ml air
1 1/2 sdt baking powder diayak bersama tepung gandum
1 sdt esen vanila

Campurkan semua bahan ni dan putar hingga berkrim speed lahu selama 10 min.
Perlahankan speed mixer dan putar lagi 2 min
Masukkan bahan 1 ke dalam adunan bahan 2 dan sebatikan guna spatula
Bagikan adunan kepada 4 bahagian sama banyak


Bahan 3:

1 sdb emulco choc
1 sdb emulco pandan
1 sdb emulco strawberi


Satu bahagian dicampur emulco choc


Satu bahagian emulco strawberi


Satu bahagian biarkan dengan warna asal dengan perisa vanilla


1 bahagian dicampur emulco pandan.


Tuang ke dalam acuan pilihan secara berselang warna. Maaf gambar lupa nak ambil. Tapi ini adalah acuan (silikon) yang saya guna untuk bakar kek. Loyang agak besar sebab adunan agak banyak. Loyang saya ni 10 inci berlubang tengah dan dalam. Bakar dalam suhu 170C yang telah dipanaskan 15 min leih awal selama 45 min atau hingga kek masak. Guna api bawah saja dulu selama 30 min barulah set api atas bawah. Bakar hingga masak sebab jangkamasa kek masak bergantung jenis dan keupayaan oven. Jika sudah masak, uji dengan lidi...kalau lidi yang dicucuk tu keluar bersih maknanya kek dah masak. Kalau keluar basah dengan adunan tadi, masukkan semula ke dlm oven dan bakar sekejap lagi hingga betul2 masak.


Kek selepas dibakar. Hummmmm. Beraroma...



Efek jaluran warna bahagian dalam.


Alhamdulillah. Kek yang beraroma sebab menggunakan pure butter dan 4 perisa bergabung...lembut dan spongy...

Friday, December 18, 2015

Pau dan Donut Teramat Gebu


Donut merupakan sejenis kuih sarapan kegemaran anak2 saya. Keempat2nya menyukai donut. Tapi kalau pau, mereka kurang sikit. Saya lebih kerap masak donut berbanding pau. Kalau pau goreng laku sikit. Apa lagi kalau burger Malaysia. Sudah masak versi resepi donut yang saya cuba. Pernah dohnya dimakan tong sampah beberapa kali sebab kegagalan menghasilkan donut gebu. Donut2 tersebut selalu merekah dan tak licin ketika dicanai atau dibentukkan. Yang kesekian kalinya ini memang marvelous. Menjadi sekali malah tak malulah kalau nak dibawa kenduri atau dijual. Huhu. Kebetulan rakan fb, Suhaizah Mohammad share resepi ini di grup. Saya teruja melihat yisnya yang membiak cantik tak melimpah walau naik membumbung melebihi mulut gelas.


Kemenjadian yis yang diperam sekejap ini buat saya teruja betul. Kembang hati saya ketika ia naik membukit. Ini adalah campuran bahan2 berikut:

1 peket 11gm yis mauripan
3 sdb gula pasir
1 1/2 cawan air suam

Campurkan gula ke dalam bekas berisi air suam, pastikan gelas atau bekasnya (saya guna tupperware shaker) besar sikit supaya ada ruang yis nak mengembang. Kacau2 gula tu barulah masukkan yis. Kacau sedikit dan biarkan ia seketika hingga ia naik seperti gambar. Saya galakkan anda guna yis mauripan kerana ada rakan saya yang guna yis jenama saf instant, ia tak jadi secantik ini walaupun katanya yis tu stok baru. Saya heran juga sebab saya juga ada guna yis jenama tersebut yang saya beli dalam peket 500gm, untuk buat roti dan tak pernah pula roti tak jadi.

Setakat cubaan saya beberapa kali alhamdulillah ia tak melimpah. Apabila puas hati naiknya tu saya barulah campurkan bahan2 lain pula iaitu:

1 kg tepung gandum
2 sdb susu pekat manis
4 sdb buttercup / majerin



Resepi asal guna uli tangan. Tapi saya macam biasa guna mixer. Jadi, saya masukkan semua bahan tepung dan butter serta susu tu ke dalam mangkuk adunan. Kemudian putar guna hook. Pastu masukkan bancuhan air sedikit demi sedikit dan uli hingga licin.

Jika doh agak keras, boleh tambahkan 2 ke 3 sdb air suam ke dalam bekas bancuhan yis tadi dan tambah ke dalam adunan hingga anda puas hati dengan doh tersebut. Doh haruslah lembut tetapi bukannya lembik. Doh yang lembut ini tak melekat kerana penggunaan butter tu.

Biarkan doh naik dua kali ganda dengan menutup mangkuk adunan dengan tuala lembab dan bersih.
Gambar di atas menunjukkan separuh doh yang mengembang. Saya biarkan ia naik membumbung di dalam mangkuk adunan. Kemudian tumbuk2 doh dan uli pula atas meja atau kabinet kerja.

Doh tersebut saya bahagi dua untuk dibuat donut dan pau inti kacang merah. Canai adunan setebal 1 cm dan terap. Saya canai atas kabinet marble tanpa taburan tepung. Tetapi saya tabung tepung secukupnya dalam dulang yang akan dijadikan tempat rehat donut yang telah diterap. Penggunaan tepung ini dapat bantu memudahkan kita ketika nak ambil donut gebu tu nanti. Okey...rehatkan donut sekejap lagi anggaran 30 minit++ supaya ia kembang lagi.



Donut yang telah siap terap dan sedia untuk digoreng. Kelihatan gebu sekali. Kalau nak ambil dengan tangan memang kena betul2 hati2 untuk elak ada kesan jari pada donut.


Saya guna spatula untuk ambil donut. Donut akan kekal bentuk asal tanpa cela. Kannnn.


Donut akan mengembang lagi ketika digoreng. Api janganlah pulak besar sangat. Nanti dalam tak masak walau luar garing dah.



Donut siap goreng yang mengujakan. kalau nak frozenkan, goreng sekejap saja untuk matikan yis. Tak perlu sampai perang atau kekuningan. Sejukkan dan simpan dalam peti ais.



Donut saya ni saiznya standard aje...guna penerap. Setengah doh dapat hampir 20 biji. Dan pau pula dapat 18 biji. Alhmdlh.


Pau inti kacang merah ketika mula nak peram.


Pau dah naik dan sedia untuk dikukus.


Saya kukus guna Noxxa steamer. Memudahkan kerja. Lagi pula jumlahnya tak banyak sangat. Tak perlu nak keluarkan kukusan besar. Sekali naik kukusan tiga tingkat terus. Satu tingkat saya muatkan 5 biji sahaj untuk elak melekat. Kukus anggaran 15 minit atau hingga masak.




Serius cakap, memang betul2 gebu sehingga suami yang tak begitu gemar pau kacang pun teruja menikmatinya. Begitu juga dengan donut. Dan dia senyum sahaja tanpa komen apa2 sebagaimana resepi2 terdahulu. Hasilnya memang sangat baik dan tiada cela seperti pecah dan kembang tak sekata sebagaimana dahulu. Syukur dengan ilmu Allah yang dikongsi.

Thursday, December 17, 2015

Laksa Terengganu Kuah Putih dan Kuah Merah

Assalamualaikum wbt... Pagi ini berkesempatan luangkan sedikit masa untuk bercerita tentang laksa Terengganu. Ini mengikut apa yang saya tahu sahaja berdasarkan pengalaman tika kecil dan remaja sebelum berumahtangga. Dulu2 arwah emak kerap juga masak laksa yang memang menjadi kesukaan saya. Tapi emak selalu guna bahan yang dikisar sendiri. Berbeza dengan saya yang guna rempah gulai dan rempah masak beli siap dan sentiasa simpan stoknya memandangkan bukannya senang nak balik Terengganu kerap. Apa lagi setelah ketiadaan orang tua lebih kurang 18 tahun dahulu. Arwah ayah pergi lebih awal iaitu ketika saya berusia 3 tahun. Rumah pusaka pun dah tiada. Huhu...

Saya ingat lagi dengan bunyi2an gelekan batu giling emak dan aroma rempah yang menusuk hidung. Rempah segar yang membangkitkan selera. Semalam, saya terajin pula memandangkan semalam agak free. Stok ikan pula banyak. jadi saya rebus kembung segar 12 ekor untuk masak kuah laksa. Satu kuah putih dan satu kuah merah. Dulu2 arwah emak sebut macam tu. kalau nak masak laksa mak akan tanya, nak kuah merah atau kuah putih. Masa tu belum biasa dengan laksa Penang, Kedah atau Johor lagi. Maklum...heeee.


Kuah merah untuk laksa Terengganu hampir sama dengan versi kuah laksa Johor. Cuma sedikit beza aroma sebab kuah versi Terengganu tidak menggunakan udang kering, ikan masin, serai dan beberapa bahan lain sebagaimana laksa Johor. Sekarang, saya suka sangat dengan laksa Johor sebab rasanya hampir menyamai laksa Terengganu. kalau ikut suami outstation ke JB, tempat yang saya tak akan lupa untuk singgah ialah di Plaza Larkin sebab ada laksa Johor dijual di situ. Cuma terbaru last week, tak dapat singgah makan sebab nampak Plaza Larkin sedang diubahsuai pembinaan. lalu aje lah sambil singgah di Pasar Basah Larkin untuk beli lontong. Itu satu lagi kesukaan saya kalau ke Johor. Lontongnya.


Kuah putih versi laksa Terengganu ni, sama saja dengan kuah laksam. jadi kalau masak kuah laksam, selain untuk makan laksam, boleh juga makan dengan laksa basah putih tu. Jadilah laksa Terengganu kuah putih. Senang kan? Resepinya ada dalam entry sebelum ini atau boleh aje anda rujuk dalam mana2 blog seperti Azie Kitchen atau Dapur Digital dll.


Satu perkara yang kita perlu ingat, kalau boleh terima la...kalau nak makan sesuatu, memanglah perlu ada semua bahan dan rencahnya. Kalau tak macam tak ori pulak kan. Tapi kalau tak cukup sikit2 tu, pada saya tak jadi hal. Contoh semalam, saya tiada stok kacang panjang, malas pula nak ke pasar, jadi, saya pakailah saja stok ulam yang ada. Timun dan tauge serta daun kemangi sahaja yang ada. Kebetulan stok bunga kantan lupa pulak nak dipotong. Bunga kantan kat rumah selalu ada sebab emak mertua memang tanam pokok bunga kantan di belakang rumah dan ia kerap berbunga.


Makan dengan ulam simple macam ni pun sedap dan berselera. Sedikit beza lagi antara laksa Terengganu kuah merah dengan laksa Johor ialah...laksa Johor dimakan dengan spagetti. Tapi laksa Terengganu guna laksa basah. Kalau di terengganu masih ada dijual laksa segar. Laksa putih. Yang saya tahu di pekan Batu Enam masih ada. Maklum, saya orang Kuala Terengganu. kalau daerah2 lain saya tak tahu pula. Jadi kadang kala di rumah, apabila masak laksa Terengganu kuah merah, tak ada stok laksa putih basah atau kering yang perlu direndam, saya akan makan dengan spagetti aje. Anak2 pun dah terbiasa makan begitu. Alhamdulillah.


Laksa kuah putih pun sedap aje kalau ada daun kemangi. Membangkit rasa dan selera. Laksanya saya guna laksa kering keluaran syarikat bumiputera Islam yang dijual di kedai Az-Zain berdekatan.


Tuesday, December 15, 2015

Ubi Kayu Sira dan Cerita Kebaikan Tersembunyi Air Kelapa


Assalamualaikum. Harap maaf kerana gambar kelihatan kurang jelas dan tidak menarik. Gambar dirakam ketika ubi kayu sira berkuah tengah panas2. Heee. Gambar pun dirakam menggunakan kamera hp sahaja. Malas nak keluarkan kamera biasa.

Ini cerita sebulan lepas ketika kakak dari JB bermalam di sini. Kebetulan ada sedikit ubi kayu pemberian adik kerani di sekolah yang saya lupa masak awal2 menyebabkan ubi sudah masuk angin. Selalu kalau ubi dah masuk angin, saya buang sahaja. Tetapi kali ini, kakak saya cuba nak masak juga sbb dah lama teringin nak makan ubi kayu sira gula melaka / manisan kampung.

Waktu kakak dah siap bersihkan ubi dan dimasukkan ke dalam periuk, saya yang ketika itu sedang belah sebiji kelapa untuk memasak lauk, spontan, masukkan air kelapa ke dalam periuk berisi ubi itu. Kemudian, setelah ubi sira masak...alhmdlh...terperanjat sangat2 sebab ubi masak empuk dengan cantik. Tidak keras. Tiada kesan langsung bahawa ia telah masuk angin sebagaimana spt sebelum dimasak. Tekstur dan aromanya sama seperti ubi yang baru dipetik dari kebun. Alhmdlh...ilmu Allah, siapa sangka. Dapat petua tanpa sengaja. Sebelum ini tak tahu pun air kelapa mampu membantu...jadi selepas ini tak ada lah membazir asyik nak buang aje kalau ubi kayu dah masuk angin.

Ubi Kayu Sira Gula Melaka:

Bahan2:

1 kg ubi kayu dibersihkan dan dipotong anggaran 2 inci
1 keping manisan kampung made in Terengganu...yang siam tak sedap
Air secukupnya
Secubit garam
2 helai daun pandan disiat dan disimpul

Penyediaan:

Masukkan semua bahan ke dalam periuk dan rebus sehingga ubi empuk. Jika kuah terlalu banyak, kecilkan api dan masak sehingga air gula pekat
Sedia dihidang....

Monday, December 14, 2015

Donut Superb Gebu

 
Mengalami kesibukan beberapa hari dalam menyelesaikan pelbagai kerja sebagai pembantu peribadi suami agak melelahkan. Alhmdlh, di sebaliknya masih bercuti dan cuti persekolahan akan berakhir lebih kurang 2 minggu lagi. Dua tiga hari tak sempat update blog kerana asyik ke utara selatan timur dan barat tanah air membuatkan dapur tidak berasap. Makan luar ajelah kalau dah berpergian.

Petang ini selesai makan tengah hari dengan nasi berlauk simple, daging masak merah dan sayur campur sahaja, terus sambung masuk dapur lagi uli sedikit doh donut untuk minum petang. Kali ini saya menggunakan resepi drp facebook dengan sedikit ubah suai. Saya tak pasti tuan pye resepi asal kerana resepi tersebut dipanjangkan drp resepi org lain. Namun begitu, saya buat penambahan sedikit apabila berlaku ketidakpuasan hati melihat doh yang sedang diuli KA agak keras. Jadi saya tambah air dan shortening halal.



Melihat kemenjadian donut ini, saya rasa puas hati dan suami serta anak2 kelihatan suka dengan hasilnya yang gebu dan amat lembut.




Resepi donut superb gebu:

Bahan 1:

11gm yis kering sebarang jenama
2 sdb susu pekat manis
1  cawan air suam
2 sdb gula kastor
1/2 cawan air suam (tambahan)

Penyediaan:

Campurkan semua kecuali air suam tambahan 1/2 cawan tu... kacau sedikit...biarkan berbuih


Bahan 2:

4 cawan tepung roti/tepung gandum (hasil hari ini saya guna tepung roti sebab tepung gandum dah habis)
2 sdb buttercup
1/2 sdb baking powder
1 sdt garam halus
1 sdb shortening

Bahan 3:
Minyak masak secukupnya untuk menggoreng
Gula kastor secukupnya untuk menyalut donut

Penyediaan:

Masukkan semua bahan 2 ke dlm mangkuk adunan.
Uli guna mixer atau boleh uli tangan
Masukkan campuran bahan 1 sedikit demi sedikit sambil uli speed perlahan
Kalau doh kelihatan kurang lembut, tambah 1/2 cawan air tambahan tu sikit2 hingga puas hati dgn kelembutan doh. Kalau tak puashati juga pandai2 adjust air suam tambahan.
Uli hingga doh licin dan tidak melekat pada bhg tepi mangkuk adunan...pegang pun gerenti tak melekat pd tangan
Tutup mangkuk adunan dengan tuala lembab
Biarkan 1 jam atau hingga doh naik satu kali ganda
Setelah doh naik, tumbuk2 adunan atau boleh mix lagi sekejap anggaran 5 min
Taburkan sedikit tepung pada meja kerja
Canai adunan setebal 1/2 inci dan terap
Susun doh yang dah diterap dalam dulang yang ditabur tepung
Biar 30 min hingga adunan naik sedikit
Panaskan minyak dan goreng hingga keemasan
Angkat donut yang telah masak dan toskan sekejap
Gaul dengan gula kastor (guna mangkuk dlm...goyang2 mangkuk atau masukkan gula dan donut dlm beg plastik bersih dan goyang2 hingga gula menyalut donut dengan sekata...
Selamat mencuba...








Friday, December 11, 2015

Nasi Lemak Halba dgn Sambal Ikan Tongkol Sedap

Warga Terengganu dan juadah nasi berlauk ikan atau apa2 menu berasaskan ikan tidak dapat dipisahkan. Ini merupakan menu nostalgia yang boleh mengundang sendu. Apatah lagi apabila menikmati menu ini sambil mengenang saat2 manis tika kecil, tika kanak2 dan remaja sebelum dibawa pergi si dia jauh dari ayah bonda dan hidup merantau. Walau boleh sampai ke kampung halaman dalam satu hari, namun setelah ketiadaan ayah bonda, ia jadi nostalgia pilu di jiwa.

Kebetulan, minggu lepas beli dua ekor aye itam atau ikan tongkol hitam jenis isi pejal yang biasa dijadikan lauk gulai dagang masih berbaki. Beli dua ekor, rebus dengan asam keping dan sedikit garam. Satu ekor berat hampir 2 kg. Potong 4 dan seekor dijadikan lauk nasi dagang dan baki satu ekor lagi, hari ini dijadikan lauk nasi lemak halba yang beraroma dan pastinya sedap sangat2.

Nasi lemak di bumi Terengganu popular dimakan dengan sambal ikan tongkol. Tidak seperti di negeri2 lain...makan bersama aneka lauk pauk dan ada bilis goreng serta kacang tanah goreng. Suami saya tak berapa gemar nasi lemak lauk ikan ni pada mulanya, tapi anak2 suka sangat. Tapi, alhmdlh...la ni, suami dah boleh makan dengan berselera. Anak2 pula saya ajar makan sekali bahagian hitam isi ikan tu sbb bahagian tu amat baik untuk fungsi otak.


Nasi Lemak Halba.

Bahan2:

4 pot beras wangi
3 cawan santan
1 cawan air kelapa
Air secukupnya (ikut tanda sukatan pada pot periuk...air ditambah hingga cecah angka 4 iaitu 4 pot) atau boleh lebihkan sikit sahaja
2 ulas bawang merah dimayang halus
1 inci halia dihiris nipis
1 sdt halba
2 helai daun pandan dicarik2 dan disimpul
Secubit garam

Penyediaan:

Campurkan semua sekali ke dalam periuk dan tanak hingga masak.
Gemburkan nasi guna spatula setelah nasi masak dan off suis.
Biarkan sebentar.
Sediakan sambal ikan. Lebih pedas lebih sedap.



Sambal Ikan Tongkol Sedap

Bahan A:

1 ekor ikan tongkol di potong 3 atau 4 keping bergantung saiz...
2 keping asam gelugor
Sedikit garam
Air separas separuh ketinggian ikan

Bahan B:

25 tangkai cili kering dicuci, direndam air panas mendidih...biar lembut baru ditoskan*
6 ulas bawang merah*
1 labu bawang besar*
1 inci halia*
1 sdt pes asam jawa
Garam secukupnya
Seketul manisan / 2 sdb gula merah / gula pasir
Sedikit air rebusan ikan
Minyak untuk menumis


Penyediaan:

Rebus bahan A dan sejukkan
Kisar bahan bertanda * sekaligus
Tumis bahan kisar sehingga terbit minyak dan wangi
Masukkan sedikit air rebusan ikan, anggaran satu atau dua senduk...kacau dan didihkan...atau kalau sedikit je air tu, masukkan aje semuanya
Masukkan pes asam jawa\
Masukkan ikan...kacau
Didihkan lagi hingga agak pekat
Tambahkan garam gula dan perasa jika suka
Samnal ini perlu sedikit manis baru betul2 sedap...tp janganlah pulak manisnya mengalahkan bubur...hehehehe
Selamat mencuba...



Tuesday, December 8, 2015

Kuih Lapis


Bahan2:
Sumber : Chef Norzailina

2 cawan santan
1 cawan tepung beras
2 sdb tepung gandum
2 sdb tepung jagung
1/2 cawan gula pasir
Sedikit pewarna merah
Pewarna pilihan
Garam secukup rasa

Penyediaan:

Panaskan santan sehingga suam2 kuku

Bubuh gula ke dalam santan dan kacau sebati

Satukan semua bahan kecuali pewarna dan kacau sebati

Bahagikan adunan kepada 2 bahagian. Tambah pewarna ke dalam satu bahagian

Panaskan loyang 20cm ke dalam pengukus

Tuang satu lapisan anggaran 100ml bahagian putih dan kukus hingga masak

Ulangi melapis dengan bahagian merah dan kukus setiap lapisan berselang seli hingga selesai

Sejukkan sebelum dipotong...

Soto



Bahan2:
Sumber : Chef Norzailina

600gm kepingan ayam
8 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
4 biji buah keras* (kisar bahan *)
3 liter air panas
3 cm lengkuas diketuk
1 kuntum bunga lawang (1 kelopak ditumbuk)
7 kuntum bunga cengkih
2/3 sdt serbuk pala
450gm tauge dibuang ekor dan dicelur
Suhun secukupnya - digoreng
2 - 3 cwn kiub nasi impit
4 tangkai daun bawang dihiris
Garam dan serbuk lada hitam secukupnya

Penyediaan:

Masak ayam, bahan kisar, air, lengkuas, bunga lawang, bunga cengkih, serbuk pala, garam dan serbuk lada hitam hingga mendidih.

Perlahankan api dan renehkan selama 35 ke 40 minit. Asingkan ayam dan carik2kan isinya.

Tutup api setelah kuah sup masak.

Hidangkan bersama bergedil.



Bahan2 bergedil:

150 isi udang dikisar
350gm kentang direbus dan dilecek
3 ulas bawang merah dimayang dan digoreng
3 tangkai daun sup dihiris halus
Garam dan serbuk lada hitam secukupnya
2 biji telur dipukul
Minyak untuk menggoreng

Penyediaan:

Satukan semua bahan kecuali minyak dan telur.

Bentukkan menjadi bulat dan leperkan sedikit.

Celup ke dalam telur dan goreng hingga keemasan.

Angkat dan toskan

Hidang dengan nasi impit, suhun, tauge, daun bawang, bergedil dan isi ayam.

Sediakan sambal cili kicap untuk dimakan bersama.

Ayam Goreng Berempah Beraroma




Bahan2:

3 sdb serbuk rempah kari daging
1 sdb serbuk cili
1 tangkai daun kari
2 biji limau nipis untuk jus
1 ekor ayam potong 8...kelar sedikit bahagian berisi tebal
2 labu bawang besar dihiris baji nipis
Minyak secukupnya untuk menggoreng
Garam secukup rasa

Bahan kisar:

8 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
2 cm halia
2 batang serai


Penyediaan:

Gaul bahan kisar dengan serbuk rempah, serbuk cili, daun kari, garam dan jus limau nipis hingga sebati.

Lumur ayam dengan campuran rempah dan perap 1 sejam.

Panaskan minyak dan goreng ayam hingga masak keemasan.

Angkat dan sejatkan minyak.

Tapis minyak gorengan untuk dapatkan serbuk rempah goreng dan tabur ke atas ayam sebelum dihidang.

Goreng pula bawang besar hingga keemasan dan tabur di atas ayam (boleh juga guna bawang goreng).

Selamat mencuba.

Sunday, December 6, 2015

Bergedil Kentang Sedap


Bergedil kentang antara menu kesukaan anak2 sama ada dimakan kosong, dengan nasi panas atau dengan soto. Proses pembuatan tak susah dan tak ambil masa lama. Kalau buat sendiri dengan bawang goreng homemade, hummmm...aromanya begitu menyelerakan.

Bahan2:

1 kg kentang dicuci bersih dan direbus dengan kulitnya sekali...jadikan wedges dan goreng pun boleh.
5 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih* dimayang, digoreng dan ditumbuk lumat
20gm daun sup dihiris halus
2 biji telur
1 sdb pati pekat ayam
Minyak masak untuk menggoreng
1 sdt garam


Penyediaan:

Lenyek kentang hingga lumat

Masukkan semua bahan lain dan gaul sebati. Perisakan garam secukupnya.

Ambil sedikit adunan, bulatkan dan leperkan sedikit. Buat hingga adunan habis.

Dalam mangkuk lain, pecahkan telur (secukupnya) dan pukul sebati.

Salutkan bergedil dengan telur.

Goreng hingga masak, keperangan dan toskan.

Sedia dihidang...

Tempahan Laksam dan Nasi Minyak Terengganu

Alhamdulillah...antara menu tempahan yang kerap. Laksam dan nasi minyak ori citarasa Terengganu dari dapur Kak Tun dengan resepi asal arwah bonda. Terima kasih Allah kerana ia merupakan terapi yang amat bermakna. Duit bukan segalanya. Namun, ketenangan itu yang membahagiakan terutama apabila melihat suami, anak2, keluarga besar akak dan para sahabat yang dikasihi menikmati menu masakan penuh kasih sayang ini. Alhamdulillah.


Semangkuk laksam untuk seorang, alhamdulillah mengenyangkan. Menu ini kerap terima tempahan di cafe milik suami apabila ada event. Kalau sibuk sangat dengan kerja, kadang kala terpaksa tolak...kerja utama perlu didahulukan.


Laksam siap pek.Tempahan kawan2 baru2 ini.


Tempahan hari ini, nasi minyak untuk 50 orang makan. Alhamdulillah, kawan2 suka, akak tumpang gembira. Sambal belacan siap sekali, pelengkap juadah nasi minyak stail Terengganu. Juga acar rampai aka acar timun dan kuncu2nya.

Roti Wholemeal Homemade Cecah Kerutuk Ayam

Roti suatu menu asing yang tak terjangkau dek fikiran suatu ketika dahulu, bahawa ia akan dapat dimasak sendiri di rumah. Ketika kecil di K Terengganu, arwah emak selalu beli roti bantal di kedai Pak Lah Yunan tak silap saya. Waktu muda remaja, saya akan singsah di kedai itu kalau lalu di depannya. Atau sengaja ke situ. Kalau sampai di kedai Pak Lah...hummm...aromanya menyelerakan.

Apabila pindah ke Klang, saya selalu pula membeli roti benggali di pekan Klang, kedai roti benggali di simpang 3 jalan nak ke stesen keretapi dan ke Kg Jawa. Walaupun laluan balik kerja dari Seksyen 17 Shah Alam ketika itu ada laluan pintas di Jalan Dato Mohd Sidin, tapi saya selalu juga rentas pekan Klang semata2 nak singgah beli roti benggali. Hehehehe. Sekarang, pekan itu dah banyak berubah. Berbeza drp 20 tahun dulu. Jarang dah lalu situ. Kedai tu entah ada entak tidak lagi sekarang.

Ketika itu ada juga beberapa kali, saya cari resepi roti benggali kesukaan saya di internet. Malangnya tiada. Beberapa tahun lepas, alhmdlh...jumpa. Pertama kali saya lupa dr blog siapa. Yang saya ingat dr laman kongsi resepi. Terima kasih sangat2 kpd tuan punya resepi asal kerana, percubaan pertama saya sudah menjadi. Waktu itu, teruja buat roti sebab dah ada KA Mixer. Seronok betul saya. La ni nak buat roti, nak makan roti, dah tak jadi masalah. Banyak resepi roti telah saya pelajari dari buku, internet dan juga melalui televisyen.


Resepi asal roti benggali:-

Bahan A (gaul bersama):

350 tepung roti high protein
1 camb shortening
Secubit garam

Bahan B (campurkan dan kacau sikit...biarkan 10 min):

150 ml air suam (resepi asal 120ml ke 160ml...boleh sesuaikan ikut tepung)
1 camb yis kering
2 camb gula kastor

Penyediaan:

Campurkan kesemua bahan dan uli hingga sebati dan licin
Boleh guna mixer, BM atau uli tangan sahaja
Uli tangan, boleh saja gunakan permukaan rata, spt meja atau kabinet marmar
Atau uli dlm besen...tekan2...dan boleh hempas2...hehehe...jamin roti akan menjadi
Biarkan doh anggaran sejam sehingga ia naik dua kali ganda
Uli semula dan bahagikan kepada beberapa bahagian sama banyak
Saya selalu timbang anggaran 120gm utk dpt 5 ketul
Canai doh menjadi nipis, terbalikkan, bahagian atas jadi bhg bawah (permukaan lebih licin)
Gulung dan bubuh dalam loyang yang telah dioles majerin / butter (lihat gambar)
Panaskan oven 180-200C
Letak dulang / loyang roti atas oven kerana ia akan membantu doh kembang dengan baik (lihat gambar bawah, asal doh separuh loyang dah naik sama paras loyang)
Lepas 15 minit oven dipanaskan, masukkan loyang ke dalam oven dan bakar hingga masa...lebih kurang 30 minit bergantung oven yer....
Setelah masak, keluarkan loyang dan keluarkan roti
Rehatkan atas redai 
Sedia dinikmati



Roti wholemeal mudah dan ringkas (olahan drp roti benggali)
Oleh : Tun Abdullah

Pesanan :

Kalau nak mencuba, buat separuh adunan shj...banyak karang kalau tak jadi membazir pula...tapi buatlah dengan niat nak bagi keluarga makan, selawat selalu ketika menguli, in shaa Allah...segalanya menjadi dengan baik

Bahan A (gaul bersama):

400gm tepung roti high protein
300 gm tepung wholemeal special
2 camb shortening
Secubit garam

Bahan B (campurkan dan kacau sikit...biarkan 10 min):

350 ml air suam (air ni boleh ditambah lagi bbrp ml sewaktu menguli supaya doh tidak terlalu keras atau terlalu lembik, kena sesuaikan bergantung tepung, doh ni lebih kurang doh donut lembutnya)
2 camb yis kering
4 camb gula kastor

Penyediaan:

Campurkan kesemua bahan dan uli hingga sebati dan licin
Saya guna KA mixer, kerja mudah
Biarkan doh anggaran sejam sehingga ia naik dua kali ganda
Uli semula dan bahagikan kepada beberapa bahagian sama banyak
Saya  timbang anggaran 120gm utk dpt 10 ketul (boleh juga buat separuh adunan kalau nak makan sikit)
Canai doh menjadi nipis, terbalikkan, bahagian atas jadi bhg bawah (permukaan lebih licin)
Gulung dan bubuh dalam loyang yang telah dioles majerin / butter (lihat gambar)
Panaskan oven 180-200C
Letak dulang / loyang roti atas oven kerana ia akan membantu doh kembang dengan baik (lihat gambar bawah, asal doh separuh loyang dah naik sama paras loyang)
Lepas 15 minit oven dipanaskan, masukkan loyang ke dalam oven dan bakar hingga masa...lebih kurang 30 minit bergantung oven yer....
Setelah masak, keluarkan loyang dan keluarkan roti
Rehatkan atas redai 
Sedia dinikmati


Macam ni, dah naik elok, boleh masukkan ke dlm oven.


Roti dah masak. Setelah keluarkan drp oven, sapukan butter di atasnya ketika masih panas.




Alhamdulillah, gebu...




Lembut dan enak dimakan panas2.



Kami anak beranak, makan roti wholemeal homemade cecah kuah kerutuk ayam yang sengaja saya lebihkan kuah untuk menu malam. Alhamdulillah.