Rempah Gulai Susu, Rempah Gulai Nasi Minyak, Rempah Gulai Dagang,
Rempah Kerutuk dan Rempah Asyura.
Petang ini saya ingin bercerita serba sedikit tentang aneka rempah Terengganu yang memang menjadi simpanan dan kegunaan di rumah atau di kedai2 makan. Rempah2 ini boleh didapati dengan mudah di Pasar Payang, Terengganu. masih ada beberapa buah kedai yang menjual rempah2 ini sama ada secara timbang atau siap bungkus. Sejak dahulu, sejak kecil, saya membesar dengan aneka rempah ini. Dan yang paling popular ialah rempah gulai dan rempah masak cap bunga ros.
Arwah emak saya biasa akan menggiling sendiri rempah gulai atau rempah masak sendiri menggunakan batu giling di beranda dapur rumah. Aroma rempah giling arwah emak menyimpan 1001 nostalgia buat saya. Jujurnya, saya tidak mahir langsung menggiling rempah, menumbuk pun amat susap payah sekali. Hehehehe. Batu giling emak disimpan abang saya sebagai kenangan. Begitu juga ketuyung...sejenis belanga tembaga yang digunakan untuk mengukus dengan sebuah bakul buluh khusus untuk diisi beras untuk dikukus.
Gambar di atas merupakan rempah gulai dan rempah masak cap bunga ros yang terkenal di Terengganu. Ia dijual dalam pek kecil untuk sekali masak dan pek besar. Kalau balik ke sana, saya tidak akan lupa membeli stok rempah ini untuk simpanan tambahan atau dijual kepada rakan yang kirim. Aromanya lebih kurang dengan gulai Terengganu atau gulai kawah. malah, boleh juga dijadikan gulai nasi dagang dengan ikan tongkol atau ayam.
Rempah masak tak perlu digunakan banyak dalam adunan atau campuran gulai. Kalau rempah gulai digunakan 2 ke 3 sudu...rempah masak cukup setakat satu sudu. Aromanya amat berbeza dengan aroma kari. Kalau di negeri2 lain di negara kita, popular dengan rempah kari, di Terengganu dan Kelantan popular dengan rempah gulai. Rempah kari di Kelantan dan Terengganu adalah rempah kerutuk, iaitu sejenis kari pekat yang sangat sedap dimakan dengan nasi putih atau nasi minyak.
Ini pula adalah rempah nasi dagang cap wau bulan siap pek yang saya dapat melalui kiriman seorang kawan di Kemaman, Terengganu. Saya lupa harganya. Tetapi tak ada la mahal sangat. Lebih kurang harga di Pasar Payang KT. Orang Kemaman dikatakan lebih menyukai aroma dan rasa daripada rempah bungkus ini berbanding rempah timbang.
Ini pula merupakan rempah timbang yang saya beli daripada gerai sama yang saya selalu langgani rempah. Cakap sahaja nak rempah apa, nak masak apa, ayam ke, daging ke, ikan ke, kambing ke...dll. Jika nak buat majlis kenduri dan sebagainya, cakap aje bilangan tetamu berapa orang....nanti pakcik yang jual rempah tu akan bagitau berapa banyak rempah nak guna, siap pek ikut jumlah kilogram bahan nak dimasak.
Sewaktu nak memasak untuk jualan hari kantin tempoh hari, saya minta rempah gulai susu dan gulai santan nasi minyak. Terus pakcik timbang dan pek. Saya ada tanyakan pakcik 1 kg daging sesuai untuk berapa orang makan. Kata pakcik, 1 kg daging untuk 10 orang makan. Senanglah saya nak agak banyak mana daging dan rempah serta banyak mana ayam serta beras. Pakcik rempah tak kedekut ilmu. Alhamdulillah. Nak masak nasi minyak pula, saya berguru dengan makcik Rahmah kedai makan majlis daerah tidak jauh dari rumah saya. Makcik Rahmah sarankan saya guna beras SAGA beras wangi super import pek biru. 5 kg boleh makan 80 orang. Beras tu jenis berderai setelah dimasak. Seronok saya dapat ilmu itu dan saya kongsikan dengan pembaca hari ini ye. Senanglah nak agak kalau nak masak nasi untuk tetamu majlis anda. In shaa Allah.
Ini pula rempah2 aneka masakan dan gulai2 istimewa Terengganu yang telah dipek secara komersial oleh pak cik penjual rempah di pasar Payang. Rempah Warisan Terengganu aka Rempah Warisan Pak Leh Enterprise. Semoga perniagaan pak cik terus maju jaya kerana sumbangan pak cik amat berguna dan bermakna buat kami yang tinggal di perantauan dan tiada orang tua khasnya ibu seperti saya. Hanya sedikit sahaja ilmu memasak ibu yang saya warisi. Namun saya amat mensyukurinya. Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment