Alhamdulillah. hari ini saya nak kongsikan resepi yang saya sekeluarga sukai. Nasi kuning dengan daging gulai susu atau ada yang panggil gulai kurma nasi minyak Terengganu. Kalau di Terengganu, nasi kuning dimakan bersama gulai ikan tongkol. Tapi kebetulan saya tiada stok ikan tongkol. Yang ada dalam stok hanyalah daging korban yang masih ada sedikit baki. Masakan ini tak susah cuma mungkin agak cerewet untuk menyediakan bawang goreng homemade. Nak guna bawang goreng yang dijual pun boleh saja, tapi aromanya tak sebangkit berbanding bawang goreng sendiri buat.
Satu lagi, kalau kita masak, tak perlulah ikut sangat setiap satu gram bahan2 yang dinyatakan. Agak2 aje pun boleh. Kalau tak pernah masak, bolehlah ikut sukatan detail. tapi kalau dah biasa masak dia, kita akan mudah nak agak berapa banyak setiap ramuan. Ikut rasa hati kecil kita. Kalau abang sulung saya, masak apa pun sedap. Abang saya pakai resepi apa yang ada di dapur. Cukup tak cukup tak kira. Janji yang asas ada. masak dengan niat untuk tanggungjawab, mengenyangkan anak2 atau suami yang makan, niat supaya ia memanfaatkan, menyihatkan dan boleh merapatkan hubungan kasih sayang. Sambil itu, selawatlah selalu ketika masak. Doakan makanan yang kita masak mendatangkan kebaikan sekeluarga. In shaa Allah ia akan sedappp. Confirm!
Bahan A:
3 pot beras...saya guna Saga (Beras Wangi Super Import) sebab ia menghasilkan nasi yang berderai walaupun terlebih sedikit air
2 helai daun pandan disimpul
Bahan B:
1/2 cawan susu cair
Air mengikut takat yang bertanda dalam pot periuk...ada tulis kan...3 pot atau boleh lebihkan sikit (ikutlah jenis beras yang dipakai)
Sedikit pewarna kuning
1 sudu kecil garam
Bahan tumis:
2 sudu besar agak membumbung minyak sapi...boleh ganti majerin atau minyak masak
3 kuntum bunga cengkih
3 biji pelaga
2 kuntum bunga lawang1 batang kulit kayu manis
1 inci halia dihiris
3 ulas bawang merah dimayang halus
1 ulas bawang putih dimayang halus
Penyediaan:
Cuci beras dan toskan. Tak perlu rendam kecuali kalau guna beras basmathi
Panaskan minyak sapi dalam periuk letrik
Tumis bahan tumis hingga wangi dan bawang agak kekuningan
Masukkan bahan A dan gaul rata. Tumis sekejap anggaran 2 minit.
Masukkan bahan B dan tanak hingga nasi masak.
Setelah nasi masak, gemburkan nasi menggunakan garfu dan bolehlah dihidang dengan lauk pilihan sama ada gulai susu atau gulai dagang.
Gulai Susu aka Kurma Nasi Minyak Terengganu:
1 kg daging lembu
50 gm rempah gulai susu (kat Pasar Payang ada jual rempah khas utk gulai susu atau gulai santan)
1/2 kg ubi kentang
Seketul kecil manisan aka gula melaka (yang dipatahkan)
6 ulas bawang merah* dikisar
3 ulas bawang putih* dikisar
1/2 inci halia *dikisar
25gm bawang goreng digaul dengan daging yang telah dicuci
1 sudu besar susu pekat
1/2 tin susu cair
3 sudu sos tomato
1/4 cawan kismis (guna cawan penyukat)...lebih atau kurang tak jadi hal
Air secukupnya
Garam gula perasa secukupnya.
Rempah tumis:
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
3 biji pelaga
2 kuntum bunga lawang
1 senduk minyak masak
Penyediaan:
Panaskan minyak dan tumis bahan tumis hingga naik bau.
Masukkan bahan kisar dan tumis hingga garing.
Masukkan rempah dan tumis sekejap.
Masukkan daging yang diperap dengan bawang goreng, sos tomato dan susu.
Masak sekejap hingga air daging keluar. kat Terengganu, kami panggil "mati air"
Masukkan semua bahan lain dengan air secukupnya dan masak hingga daging betul2 empuk.
Perisakan garam gula perasa secukupnya.
Masakan ini lemak masin dan manis2 serta cair.
Boleh dimakan bersama nasi minyak, nasi kuning dan acar rampai sekali.
Bahan acar rampai:
2 biji timun..dihiris memanjang sebagaimana gambar...pulur dan biji perlu dibuang
1/2 batang carrot dipotong memanjang kecil dan nipis
2 ulas bawang merah dimayang halus
1 biji cili merah dimayang halus
Boleh tambah nenas jika suka / jika ada stok
Cuka, garam dan gula secukupnya
Campur dan gaul semua bahan di atas dengan sukatan masin dan manis serta masam yang sesuai mengikut citarasa
Selamat mencuba...
Alhamdulillah
No comments:
Post a Comment